KOSMO
Kejadian berlaku di Sungai Chao Phraya, daerah Phra Pradaeng. - Sutthiwit Chayutworakan
BANGKOK – Dua orang lemas, manakala dua lagi cedera apabila jet ski yang dipandu seorang pelakon melanggar sebuah bot, dalam kemalangan di Sungai Chao Phraya, daerah Phra Pradaeng malam kelmarin, lapor akhbar Bangkok Post.
Kemalangan berlaku di tengah sungai tersebut kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan) apabila jet ski itu melanggar bot kecil yang sedang menyeberangi sungai dekat Wat Bang Krachao Nok.
Impak kemalangan menyebabkan seorang penumpang wanita dan pemandu bot terjatuh ke dalam sungai sebelum hilang.
Anggota penyelamat kemudian menemui mayat mereka di dasar sungai berhampiran enjin bot tersebut yang karam.
Dalam masa sama, dua penumpang jet ski cedera ringan dan mengalami lebam.
Pemandu sebuah jet ski itu yang juga pelakon, Shindanai sae Lim berkata, dia tidak dapat melihat bot itu menyeberangi sungai kerana ia tidak mempunyai lampu selain keadaan ketika itu yang gelap.
Menurut Shindanai, bot itu juga berada terlalu dekat untuknya mengelakkan pelanggaran.
Shindanai ialah antara sekumpulan 11 orang yang menaiki lima jet ski untuk pulang ke jeti di daerah Chom Thong, Bangkok.
Menurut laporan media, jet ski yang dipandu Shindanai adalah milik lelaki lain dan pelakon tersebut tidak mempunyai lesen memandu untuk kenderaan tersebut. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan