"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri sempat jerit minta tolong sebelum senyap

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
(Baju hijau) Suami mangsa menunggu pasukan penyelamat mencari isterinya. FOTO MOHD HARIS FADLI MOHD FADZIL
(Baju hijau) Suami mangsa menunggu pasukan penyelamat mencari isterinya. FOTO MOHD HARIS FADLI MOHD FADZIL
Kuala Lumpur: "Dia (mangsa) menjerit meminta tolong selepas terjatuh sebelum terus senyap tidak lama kemudian."

Kata suami kepada wanita warga India yang terjatuh dan tertimbus ke dalam lubang benam berhampiran Masjid India, di sini hari ini.

Bagaimanapun lelaki berusia 40-an itu agak keberatan untuk menceritakan dengan lebih lanjut berhubung kejadian yang menimpa isterinya di samping kesukaran untuk berkomunikasi.

Setakat jam 3 petang, usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sudah masuk hampir tujuh jam diteruskan menggunakan jengkaut bagi membesarkan lubang benam terbabit untuk memudahkan tugas pasukan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan maklumat berkaitan kejadian itu dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu

"Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan.

"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan anggota Bomba sedang giat melaksanakan kerja penyelamatan di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini kawasan itu masih dianggap selamat bagaimanapun

perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan jika ada keperluan untuk menutup kawasan itu.

Katanya, seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan DBKL, 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (lima) dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (empat) turut serta dalam operasi SAR itu.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.

Tiada ulasan: