Hishamuddin Aun
Langkah PN ulangi strategi PRK Sungai Bakap dengan menyerang kerajaan perpaduan dan tunggang isu kenaikan harga barang ditolak pengundi Nenggiri.
Satu video di Tik Tok mempersendakan pengarah operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Nenggiri Annuar Musa tular selepas kemenangan Barisan Nasional (BN), Sabtu lalu. Dengan mengulang-ulang monolognya “pitih aku… pitih aku”, merujuk kepada satu video ceramahnya menjawab sindiran beliau menunjuk-nunjuk dengan berpakaian jenama Louis Vuitton (LV) ketika berkempen, dirujuk sebagai antara punca kekalahan PN.
Tahniah kepada (pengerusi BN) Zahid Hamidi, takziah kepada Annuar Musa, kata Ikhwan Razak dalam videonya sambil menambah: “Hangpa gamaklah buat kat ‘Tok Guru LV’ macam tu. Tu lah orang dah kata dah, jangan sombong dengan rakyat, pergi jumpa rakyat pakai Louis Vuitton, pakai baju (berharga) RM14,000.
Rakyat bagi kat dia satu undi. Daripada 100 lebih, dia dapat satu undi dalam satu peti undi… ini sejarah PAS. Takkan lah 100 lebih orang tak mahu masuk syurga. Inilah kesombongan Perikatan Nasional dan pemimpin PAS kepada rakyat (hingga) rakyat ajar dia, katanya.
Dalam analogi bola sepak – Annuar pernah jadi tulang belakang dalam kegemilangan skuad Kelantan meraih tiga kejuaraan semusim dalam Liga Malaysia pada 2012 – keputusan PRK Nenggiri bukan sekadar menyaksikan PN kalah, sebaliknya dibelasah dan diaibkan.
Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali dengan panggilan Awie meraih 9,113 undi mengalahkan calon PN Rizwadi Ismail atau Ustaz Wadi (5,741 undi) dengan majoriti besar 3,372 undi – berbanding keputusan PRN pada Ogos tahun lalu apabila calon PN Mohd Azizi Abu Naim (6,517 undi) menang kerusi itu mengalahkan calon BN Ab Aziz Yusoff (5,707 undi) dengan majoriti hanya 810 undi.
BN sebelumnya menguasai kerusi DUN Nenggiri selama empat penggal berturut-turut sejak ia kali pertama dipertandingkan pada 2004 hinggalah tewas kepada PN pada PRN tahun lalu.
Daripada sembilan PRK — Kuala Terengganu, Simpang Jeram, Pulai, Pelangai, Jepak, Kemaman, Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap – yang diadakan selepas PRU15, Nenggiri adalah PRK pertama yang keputusannya berkalih atau dirampas daripada penyandang terdahulu.
Sepanjang tempoh berkempen sejak penamaan calon pada 3 Ogos, Annuar seakan-akan taasub menyerang Zahid yang juga presiden Umno dan kebetulan Awie adalah ketua Pemuda Umno Kelantan. Antaranya, Zahid didakwa menikam Umno dari dalam apabila dikatakan bersekongkol dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dari awal lagi.
Sehari sebelum hari mengundi PRK Nenggiri – pada Jumaat — satu video dengan tajuk Nenggiri Air Show hari ini berdurasi 3 minit 34 saat dimuat naik di laman Facebook Annuar menunjukkan timbalan perdana menteri tiba dengan menaiki sebuah helikopter yang mendarat di sebuah padang untuk meneruskan gerak kerja kempennya.
Di sebalik sudah dijelaskan Zahid Isnin lalu bahawa penggunaan helikopter oleh BN ketika berkempen di Nenggiri tidak dibayar oleh kerajaan, hairannya video berkaitan masih terus dimuat naik di akaun FB Annuar pada hari terakhir berkempen yang tujuannya boleh ditelah oleh sesiapa sahaja.
Isu penggunaan helikopter itu sebelum ini dibangkitkan Annuar yang menyerahkan kepada rakyat untuk menilai cara kempen BN menggunakan helikopter yang menurutnya mencecah sewa ratusan ribu ringgit yang didakwanya telah melanggar had kos kempen sebanyak RM100,000 dan menyalahi peraturan.
Ada juga yang mengatakan helikopter terbabit ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Kalau pihak yang menaja itu ada kepentingan dengan projek kerajaan, ia adalah rasuah, kata Annuar dalam sidang medianya Isnin lalu sambil menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara berkenaan selain memberi ruang kepada rakyat untuk menilai cara kempen BN.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut mengulang-ulang seruan ‘Hidup Israel’ oleh Zahid dalam ucapannya ketika Himpunan Pembebasan Palestin di ibu negara pada 4 Ogos. Ia dijelaskan pengerusi BN itu sebagai tidak disengajakan dan sudah memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya. Tapi Annuar terus mengeksploitasinya sebagai modal kempen.
Rakyat Nenggiri jauh lebih bijak berbanding pemimpin sebelah sana, sama ada yang sememangnya di sebelah sana atau baru berhijrah ke sebelah sana yang terikut-ikut dengan cara sebelah sana (dengan) tiba-tiba bertukar wajah 360%, kata pengarah operasi BN bagi PRK Nenggiri Ahmad Jazlan Yaakub yang jelas merujuk kepada Annuar dalam sidang media selepas pengumuman keputusan.
Penganalisis boleh menampilkan apa sahaja alasan kekalahan PN kali ini – daripada segi strategi, isu-isu dibangkitkan mahupun pemilihan calon – tetapi ia juga mungkin menonjolkan kelalaian pihak pembangkang itu selepas kemenangannya pada PRK Sungai Bakap 6 Julai lalu.
Mengulangi pendekatan yang sama, PN terus menunggang isu penyasaran semula subsidi diesel yang berkait dengan kenaikan harga barang hingga menyusahkan rakyat, menyerang Anwar dan kerajaan perpaduan yang didakwa telah gagal serta memburuk-burukkan BN dan Umno yang dikatakan ditolak orang Melayu dengan merujuk kepada keputusan PRU15 dan PRN tahun lalu.
Dalam keghairahan sedemikian, pentas ceramahnya setiap malam menyajikan serangan peribadi terhadap pemimpin kerajaan perpaduan, termasuk oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang kini berhadapan pelbagai laporan polis atas dakwaan menyentuh isu 3R dengan mempersoalkan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Presiden PAS Hadi Awang pula dalam pada mendakwa Umno sudah berada pada zaman nyanyuk kerana melantik pemimpin secara ‘ikut suka’, turut menyebut ramai pemimpin dan ahli meninggalkan parti itu selain ahli yang masih kekal sudah tidak mengundi parti. Menyusuli kenyataannya itu, Hadi disaran mencermin diri untuk melihat siapa yang sebenarnya nyanyuk.
Di sebalik Ustaz Wadi ditampilkan selaku calon PN dari Bersatu yang bertanding atas simbol PAS, keputusan PRK Nenggiri juga menyerlahkan penolakan pengundi terhadap calon yang bersalin pakaian dan kemudian menyarung baju orang lain. Asalnya sebagai bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang, beliau direstui keluar parti untuk menyertai Bersatu agar dapat mewakili parti itu yang ketandusan calon.
Malah, Bersatu pimpinan Muhyiddin kalah dari banyak segi. Tindakan parti itu meminda perlembagaannya yang diluluskan 1 Apr lalu khusus untuk menghukum wakil rakyatnya yang menyokong Anwar agar kerusi ahli terbabit dapat dikosongkan dan memenanginya semula dalam PRK nampaknya memakan diri.
Sama seperti enam bekas ahli Parlimennya yang gagal dikosongkan kerusi mereka atas sebab sama kerana notis Bersatu ditolak Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, percaturan Bersatu ditolak oleh pengundi Nenggiri untuk parti itu hilang satu kerusi DUN.
Pada analisis akhirnya, Annuar selaku pengarah operasi PN bagi PRK Nenggiri harus angkat tabik kepada pengarah PRK Nenggiri di pihak BN Tengku Razaleigh Hamzah – orang lama di sebalik pendekatan berani Umno mengetepikan ceramah umum dan tidak menawarkan manifesto, sebaliknya menyantuni pengundi secara bersemuka yang terbukti lebih berkesan.
Dari awal kita dihina menerusi ceramah pihak lawan dan saya berterima kasih kepada semua jentera yang cukup berdisiplin sepanjang tempoh berkempen. Sejak dari awal kita meletakkan batas supaya jangan sesekali fitnah dibalas dengan fitnah, maki dibalas dengan maki selain mengamalkan kempen yang berakhlak, kata Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang medianya malam tadi.
Mungkin PN, khususnya Annuar, boleh belajar satu atau dua benda daripadanya. Sekali lagi dalam analogi bola sepak, tiada sesiapa mengingati pihak yang kalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan