Elill Easwaran
Dua calon bersaing bagi kerusi Nenggiri, Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN) dan Rizwadi Ismail (PN), turut mengundi hari ini.
PETALING JAYA: Keputusan Perikatan Nasional (PN) memilih calon yang salah menjurus ke arah kekalahannya pada PRK Nenggiri hari ini, menurut sumber gabungan.
Sumber dalaman yang enggan namanya disiarkan itu berkata, bahawa calon PN Rizwadi Ismail didapati hanya popular dalam kalangan ‘orang masjid’.
Menurut sumber itu, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon yang tepat pada PRK Nenggiri, iaitu Azmawi Fikri Abdul Ghani yang memperoleh majoriti selesa dengan 9,091 undi, manakala Rizwadi hanya memperoleh 5,739 undi.
Sumber PN itu berkata, Azmawi sangat rapat dengan golongan belia di Nenggiri dan Gua Musang, dan pernah menaja acara belia.
Azmawi turut memanfaatkan kedudukannya dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), yang membangunkan 70% kemudahan di Gua Musang.
Sebab tu undi anak muda ‘swing’ (kepada BN), katanya.
PN turut bertelingkah berhubung pemilihan calon, kata sumber itu. Bersatu mencadangkan dua calon tetapi PAS tidak berminat disebabkan pengalaman mereka dengan Azizi Abu Naim, yang menang pada 2022 atas tiket Bersatu.
Pada Jun, Bersatu mengumumkan Azizi bukan lagi ahlinya, menyebabkan kerusi itu diisytiharkan kosong, mencetuskan pilihan raya kecil.
“PAS cakap, imej Bersatu tengah buruk (disebabkan tindakan Azizi). Mereka cadangkan calon PAS tetapi ‘tukar’ baju Bersatu.
Mungkin kalau kita pilih antara dua calon yang mula-mula dicadangkan itu, (PN) ada peluang lebih cerah (menang PRK Nenggiri), katanya.
Annuar Musa, pengarah pilihan raya gabungan itu untuk PRK Nenggiri, turut dilihat sebagai liabiliti, menurut Hisyamuddin Ghazali, seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan.
Katanya, Annuar bukan sahaja kelihatan sombong, malah seorang yang suka menunjuk-nunjuk kekayaannya, menjengkelkan pengundi.
Keputusan untuk ‘mengitar semula’ pemimpin seperti Annuar tidak membawa impak yang ketara, katanya dalam catatan di Facebook.
Hisyamuddin, yang bertanding merebut kerusi Kuala Krai pada PRU 2022, turut mendakwa, perpecahan dalam kalangan akar umbi Bersatu dan PAS disebabkan pemilihan calon turut menyumbang kepada kekalahan PN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan