"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas SB tembak mati rakan dipenjara 38 tahun

Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati seorang bekas anggota cawangan khas Bukit Aman (SB) atas kesalahan menembak mati rakan sekerjanya 10 tahun lalu dengan penjara 38 tahun.

Panel tiga hakim membenarkan permohonan bekas korperal Wan Masrul Faiezie Wan Mustapha di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Panel berkenaan terdiri daripada Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah.

Ketika menyampaikan hukuman mahkamah, Hakim Harmindar berkata kes Wan Masrul bukanlah kes luar biasa. Beliau berkata pembunuhan itu berpunca daripada pertelingkahan mengenai suatu hutang.

Hakim Harmindar memerintahkan Wan Masrul Faiezei menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap iaitu 2 Feb, 2014.

Wan Masrul Faiezie, 43, disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2018 atas kesalahan membunuh Lans Koperal Thivakar Thangavelu, 37.

Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Negeri Sembilan di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur antara 4.11 petang dan 4.50 petang pada 4 Feb, 2014.

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah menolak rayuannya masing-masing pada 2020 dan 2021.

Terdahulu, peguam Wan Masrul Faizie, Kee Wei Lon berkata ia adalah salah pertimbangan daripada anak guamnya selepas mangsa meminta bayaran balik dua kali ganda jumlah yang dipinjam.

Beliau berkata kejadian itu bukanlah pembunuhan yang dirancang dan menggesa mahkamah membenarkan permohonan berkenaan manakala Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol berhujah mangsa ditembak dua kali dari jarak dekat.

Sementara itu, panel hakim yang sama menggantikan hukuman mati bekas mekanik Afizi Abdul Rahman kepada penjara 35 tahun kerana membunuh teman wanitanya Saliza Saidin pada 2014.

Hakim Harmindar memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari 22 Jan, 2014 dan dikenakan 12 sebatan.

Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohd Afizi pada 2017 kerana membunuh wanita berusia 29 tahun itu di flat kos rendah di Setapak Jaya, Sentul, Kuala Lumpur antara 1 pagi dan 1.30 pagi pada 21 Jan, 2014.

Afizi, pada mulanya didakwa dengan tuduhan cubaan membunuh Saliza, anak perempuannya yang ketika itu berusia dua tahun dan anak perempuan jiran Saliza yang berusia dua bulan di tempat dan pada masa yang sama.

Bagaimanapun, pada 18 Feb 2014, dia dituduh membunuh Saliza, yang meninggal dunia akibat kecederaan bakar yang teruk pada 1 Feb 2014, 11 hari selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur.

Pada prosiding hari ini, peguam Afizi, Farida Mohammad memohon untuk hukuman mati itu digantikan dengan penjara menyatakan provokosi mendorong kepada perbuatan anak guamnya yang sebelum kejadian bertengkar dengan mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mencadangkan tempoh penjara 35 tahun disertakan dengan 12 sebatan kerana Afizi bukan sahaja membunuh mangsa tetapi juga cuba membunuh dua kanak-kanak.

Tiada ulasan: