"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno canang modal lama lagakan pimpinan PAS

Mohd Nor Yahya  

KUBANG KERIAN, 19 April (Hrkh) - PAS menjangkakan Umno/BN tidak akan meletak calon bagi merebut kerusi Dun Penanti yang terletak di Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairuz Khairuddin.

Demikian dinyatakan oleh Presiden PAS, Dato' Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika ditemui di Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kubang Kerian kali ke-35 bertempat di Sek. Men. Ugama Taqaddum Maarif Pasir Tumboh.

Abdul Hadi juga berkata sekiranya Umno yang mengatakan PRK di Penanti akan membazirkan wang kerajaan, ini menggambarkan pihak mereka telah mengaku kalah sebelum diadakan PRK, justeru itu beliau menyarankan agar kemenangan terus diberi kepada Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat akan tetap bersedia untuk menghadapi PRK kali ini di Dun Penanti walaupun ada desas desus yang mengatakan BN tidak akan meletakkan calon mereka di sana," ujar beliau.

Menyentuh tentang propaganda media arus perdana yang mengatakan terdapatnya kumpulan tertentu dalam pemlihan pimpinan PAS kali ini yang akan diadakan pada bulan Jun nanti, Abdul Hadi berkata itu adalah modal lama Umno/BN.

"Saya tidak melihat pertandingan dalam PAS sebagai merebut jawatan yang melibatkan politik wang dan lobi melobi, Umno saja yang dok kalut mengatakan kita ada kumpulan tertentu, sebab itu saya mengatakan modal lama, dulu pun mereka kata kita ada golongan ulama bertembung dengan golongan profesional, kini golongan pro muzakarah dengan yang menentangnya, itu adalah karut yang dicanang oleh mereka," katanya lagi.

Menurut Abdul Hadi lagi, jawatan presiden dalam PAS boleh ditandingi dan beliau beranggapan ia seperti sebuah rumah yang mempunyai atap, tingkap, dinding dan tiang, sesiapa yang berada di tahap atap ia akan lebih memikul tanggungjawab sehinggakan panas dan hujan tetap utuh di atas.

Tiada ulasan: