"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Asri cabar Peguam Syarie, Nakhae buktikan tuduhan / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 1 Nov : Sidang media tergempar semalam bagi menjelaskan tuduhan fitnah dan bantahan lantikan jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini.

Dalam sidang media di Taman Tun Dr Ismail itu, Dr Asri membidas fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Badan-Badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Yadim dalam satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Beliau menjelaskan antara fitnah yang terkandung dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan dalam laman web PGSM ialah mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar dari Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Menurut Mohd Asri lagi tuduhan lain yang dianggap melampau ialah dakwaan yang mengatakan beliau telah mencerca golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

"Bagi saya untuk membantah lantikan itu adalah hak dia... tetapi jangan membuat fitnah dan tuduhan-tuduhan yang melibatkan maruah dan bidang keilmuan.

"Ia seolah-olah nak menggambarkan saya ini sesat dan ini satu tuduhan yang amat berat.

"Saya mahu mereka buktikan hanya sepotong ayat sahaja tentang tuduhan-tuduhan itu termasuk di mana saya mencerca ulama," katanya di hadapan para wartawan daripada media arus perdana seperti TV3, RTM, NTV7, Utusan, Berita Harian dan The Star.

ImageMenurut Dr Asri tuduhan berunsur fitnah tersebut timbul atas perasaan tidak puas hati pihak-pihak tertentu berikutan penawaran jawatan itu terhadapnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu majlis tazkirah pada Ramadan yang lalu.

"Saya tahu dalang di sebalik Memorandum ini. Sejak jawatan itu ditawarkan maka ada beberapa pihak yang barangkali tidak selesa, tapi itu tidak mengapa untuk mereka berikan pandangan," katanya.

Sementara itu, Dr Asri turut membangkitkan persoalan kepada Yang Dipertua Yadim Dato' Nakhae Hj Ahmad berhubung dakwaan bahawa beliau tidak diterima oleh majoriti penyokong Umno dan tidak diterima oleh PAS selama ini.

"Saya nak tanya dia...(Nakhae), dia sendiri pun ditolak oleh PAS dan bertanding di Baling atas tiket Umno pun kalah.

"Kalau ini nak dijadikan kriteria untuk jawatan Yang Dipertua Yadim, saya rasa banyak lagi yang dia tak layak," katanya yang turut menyatakan keputusannya di atas tawaran tersebut.

Katanya berdasarkan pekembangan terbaru ini, beliau tidak berminat untuk menerima tawaran jawatan Yang Dipertua Yadim itu dan lebih selesa memberi pandangan sebagai 'pihak ketiga' yang tidak terikat dengan mana-mana pihak seperti kerajaan, Umno dan PAS.

Turut ditanya tentang spekulasi penyertaannya di dalam PAS yang heboh dperkatakan, beliau menafikan dakwaan itu.

"Ketua Dewan Ulama PAS menjemput saya untuk sertai PAS.

"Sebenarnya saya mempunyai hubungan yang cukup baik dengan para pemimpin PAS dan Umno tetapi saya rasa lebih baik menjadi suara ketiga buat masa ini," katanya yang selalu menerima dan memenuhi jemputan ceramah daripada kedua-dua parti.

Dalam sidang media itu, Dr Asri turut ditanya asama ada akan memanggil satu forum tebuka atau debat bagi menjelaksna setiap pertuduahan dan merungkai kekeliruan umat Islam berhubung isu ini, beliau setakat ini mahu pihak yang terbabit membuktikan tuduhan dan fitmah yang dilemparkan.

"Cukuplah saya beritahu melalui media bahawa perkara ini adalah bohong, saya belum berfikir untuk saman.

"Saya harap Yang di-Pertuan Agong juga membaca penjelasan saya, tapi mungkin juga saya boleh fikirkan (untuk menulis penjelasan rasmi) jika ada ruang boleh juga,"katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

Antara tuduhan lain yang terdapat dalam memorandum berkenaan ialah Dr Asri didakwa sering mengambil tindakan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.

Selain itu dalam memorandum itu juga dinyatakan pendekatan ekstrem Dr Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh negara khususnya negeri Perlis.

Juga dinyatakan bahawa cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.

"Perbezaan pendapat ini, sudah lama malah Prof Hamka juga pernah menegur Mufti Johor dalam beberapa hal," katanya sambil menunjukkan buku Hamka kepada pihak media.

"Saya juga dituduh mencerca imam Nawawi sedangkan sebahagian besar kuliah saya di Lembah Kelang menggunakan kitab Nawawi," katanya yang turut menjelaskan beberapa isu kontroversi yang pernah ditimbulkan beliau sebelum ini.

Sementara itu Mohd Asri turut mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara melakukan siasatan terhadap YADIM bagi menyemak tentang beberapa perkara.

"Apabila timbul isu Yadim ini, saya ada semak beberapa perkara, mungkin semakan saya ini betul ataupun salah.

"Saya mencadangkan kepada pihak audit negara supaya melakukan audit kepada Yadim sekarang, ini adalah perkara yang patut dibuat dan kita mungkin akan bertemu dengan banyak perkara," katanya tanpa mengulas lanjut.

Sidang media sekitar 45 minit bermula jam 8.00 malam itu, turut dihadiri NGO-NGO Islam yang lain yang memberi sokongan kepada beliau antaranya AL-Mizan Kuala Pilah, Al-Qayim, Al-Qadim, Al-Nidaa yang penanungnya adalah Raja Muda Perlis, peguam dan para pendokong As-Sunnah di Malaysia.

Mengakhiri sidang media, Dr Asri sekali lagi mahu pihak yang terbabit membuktikan tuduhan-tuduhan yang mencemar nama baik beliau dan mengelirukan umat Islam di negara ini.

"Membantah atau perbeza pendapat itu boleh tetapi jangan jadi pembohong, pendusta!" katanya tegas.

Tiada ulasan: