Lim Hong Siang
"Pelan Perpaduan" (Greater Unity Plan) gagal membubuh noktah kepada kemelut MCA yang berlanjutan, malah mengheret pergelutan kuasa dalaman tersebut memasuki babak baru, menyaksikan pertentangan antara lapisan pimpinan muda dengan gandingan "lawan jadi kawan", Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek.
Kemelut parti komponen Barisan Nasional kedua terbesar ini dilihat mencelarukan langkah yang disusun-atur oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Najib Razak (gambar kiri) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Masyarakat Cina semakin muak dengan episod pergelutan kuasa yang berlangsung kini, dijangka menterjemahkan sentimen ini kepada undi pada PRU yang akan datang.Namun demikian, kemelut MCA yang mencalit imej setiap pemimpin dalam pucuk pimpinan ini, tidak semestinya sesuatu yang negatif dalam mata UMNO. Malah, UMNO mungkin tersenyum dengan senario sedemikian, kerana pemimpin MCA ini akan meletakkan MCA ke dalam genggaman kuasa UMNO.
Analisa sedemikian menemui munasabahnya, apabila ahli parlimen Sri Gading-UMNO, Mohamad Aziz mendesak Presiden MCA, Ong Tee Keat untuk meletak jawatan, semalam.
MCA sedar apa yang berlaku...
Apakah MCA tidak sedar permainan politik sedemikian? Jawapannya, tidak. Pemimpin MCA sebenarnya amat sedar pencaturan politik UMNO. Ia diperlihatkan melalui serangan Ong Tee Keat terhadap Chua Soi Lek sebelum ini, dengan amaran bahawa skandal seks Chua bakal digunakan UMNO untuk menundukkan segala tuntutan MCA.
Dalam operasi kuasa di bawah struktur BN, MCA perlu berdepan dengan UMNO ketika "memperjuangkan kepentingan komuniti Cina". Logiknya, jikalau pemimpin tertinggi MCA itu tidak memenuhi syarat-syarat seperti senioriti, kredibiliti, ketegasan, keberanian untuk menyuarakan pendangan dan sebagainya, maka "tuntutan kepentingan Cina" itu tidak sampai ke mana.
Misalnya, "pelan pendamaian" yang melabuh tirai kepada pergelutan antara Ling Liong Sik dengan Lim Ah Lek, telah menjejaskan pelan peralihan kuasa "semula jadi" dalam MCA. Umur Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy belum genap 50 tahun ketika mengambil alih pucuk pimpinan tertinggi. Malah, pengalaman mereka dalam kabinet juga cetek, bahkan Chan Kong Choy yang menyandang jawatan terpenting untuk MCA, Menteri Pengangkutan tidak pernah terlibat dalam mesyuarat kabinet sebelum itu (Timbalan Menteri Kewangan sehingga tahun 2003).
Oleh itu, kedua-dua mereka yang digelar "budak" itu terpaksa "merendah diri" dalam budaya politik BN yang mementingkan senioriti. Malah Lim Keng Aik (Presiden Gerakan ketika itu), dan Samy Vellu (Presiden MIC) lebih lantang bersuara kerana pengalaman berpuluh tahun dalam kabinet.
Sri Gading memberi amaran...
Berbalik kepada isu Ong-Chua, Ong pernah secara tersiratnya mengingatkan perwakilan MCA dan masyarakat Cina, bahawa seandainya Chua Soi Lek dipilih untuk menerajui MCA, maka kepentingan komuniti Cina akan tergadai kerana UMNO bakal mengugut Chua pada bila-bila masa dengan skandal "seks oral" yang dilakukan Chua.
Tetapi, Ong kini juga berdepan dengan masalah yang sama, iaitu imej yang tercalitnya itu kerana "cakap tak serupa bikin", bakal dijadikan senjata oleh UMNO untuk menundukkan Ong. Kepimpinan Ong telah dinafikan perwakilan, walaupun hanya dengan majoriti 14 undi. Apa yang terpampang nyata di depan mata adalah, Ong telah hilang sokongan majoriti dalam parti.
Kini, Ong mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden, dan Menteri Pengangkutan, kerana "Pelan Perpaduan" disokong Presiden UMNO. Ia amat bercanggah dengan pendirian tegas Ong sebelumnya, bahawa MCA seharusnya menolak sebarang campur tangan UMNO. Lebih penting, UMNO boleh mengambil kesempatan ke atas "keengganan Ong mengundur diri walaupun tidak mendapat kepercayaan majoriti perwakilan".
Mesej UMNO disampaikan apabila Mohamad Aziz, ahli parlimen Sri Gading berkata dalam Dewan Rakyat, "Kalau ada harga diri ada maruah berhenti, jangan susahkan Perdana Menteri. Awak Presiden MCA yang tidak lagi dapat kepercayaan ahli... berhentilah, ramai lagi pemimpin MCA boleh memimpin parti. Apa, you ingat you seorang sahaja yang pandai?"
Kesannya kepada MCA
Hujah Mohamad Aziz ada munasabahnya, dan mungkin mendapat sokongan sebahagian ahli MCA dan masyarakat Cina. Hujah sedemikian menghakis legitimasi Ong Tee Keat sebagai Presiden MCA. Seandainya Ong perlu mencegah hujah sedemikian diulangi, diluaskan pengaruhnya, maka beliau perlu kompromi dengan UMNO.
Dengan kata lain, tekad Ong untuk menyiasat skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mungkin patah di tengah jalan. Seandainya keadaan ini berlaku, maka Ong akan kehilangan sokongan masyarakat Cina. Siasatan PKFZ sebelum ini telah mencungkil kesangsian dan rungutan sesetengah orang, bahawa hanya beberapa kerat orang didedahkan, tetapi dalang di sebaliknya yang mungkin melibatkan kepentingan UMNO tidak berani disentuh.
Dengan kata lain, jikalau Ong akur kepada ugutan UMNO, maka beliau bakal menggadaikan modal politiknya, iaitu imej moralnya yang terkenal dengan berani dan tegas. Imej inilah satu-satunya senjata Ong yang dilihat boleh menyelamatkan MCA dari kekalahan PRU ke-12.
Namun, jikalau Ong kehilangan modal politik ini, dan pergelutan kuasa dalam MCA gagal ditamatkan, maka MCA-lah bakal menanggung padahnya. Penganalisa politik, Ooi Heng pernah membuat perhitungan berdasarkan keputusan PRU ke-12, di mana MCA hanya menang 15 kerusi parlimen daripada 40 yang ditandingnya.
Pada PRU ke-13, seandainya lebih 5% undi beralih ke Pakatan Rakyat (PR), maka MCA hanya tinggal 9 kerusi Dewan Rakyat; seandainya 10% undi yang beralih ke PR, maka MCA hanya tinggal 6 kerusi Dewan Rakyat, menurut perhitungan Ooi Heng.
Kesannya kepada BN
Kekalahan MCA semestinya melemahkan BN. Najib semestinya sedar bahawa kemelut MCA ini tidak akan menemui jalan penyelesaian yang sempurna. walau pimpinan diserahkan kepada Liow Tiong Lai (Timbalan Presiden MCA yang baru dilantik) sekalipun, pemimpin yang sudah tercalit imejnya sebagai "pengkhianat" ini turut berdepan dengan krisis kredibiliti.
Senario ini sebenarnya menguntungkan PR, seandainya mengambil kesempatan untuk menarik ahli MCA yang kecewa dan hilang yakin terhadap pemimpin mereka. Namun, PR turut menghadapi krisis sendiri, apabila PAS dan PKR memberi persepsi kekecohan kerana pergelutan dalaman.
Najib yang melaungkan slogan 1Malaysia, semestinya sedar bahawa sokongan bukan Melayu masih diperlukan, bukan sahaja diterjemahkan dalam bentuk undi, malah juga "kerusi" dalam Dewan Rakyat. BN hanya bergelar UMNO seandainya tiada wakil kaum lain. Kerajaan gagal dibentuk seandainya tiada wakil rakyat daripada kaum lain. Itulah sebabnya Mah Hang Soon (Exco Negeri Perak) dicemuh kerana menjayakan pembentukan kerajaan UMNO-BN di negeri Perak.
Oleh itu, apa jalan keluarnya? UMNO sebelum ini menyatakan niat mereka untuk mengambil alih beberapa kawasan yang ditanding parti komponen yang lain. Tetapi bagaimana pula seandainya tiada kerusi yang dimenangi MCA?
Sekiranya diimbas kembali, bekas PM Abdullah Ahmad Badawi pernah mencadangkan agar BN mengambil ahli secara terus, menyasarkan mereka yang menyokong BN tetapi tidak berniat menyertai mana-mana parti komponen BN. Dengan kata lain, seandainya BN berjaya melobi tokoh-tokoh yang disanjungi untuk dijadikan calon BN, maka masih ada peluang untuk BN mengekalkan model "perkongsian kuasa antara kaum" ini.
Pendek kata, kemelut MCA ini menguntungkan UMNO dari segi mengeratkan genggamannya terhadap pemimpin MCA, tetapi berdepan dengan risiko hilangnya penguasaan BN terhadap masyarakat Cina. Cuma, apakah politik perkauman masih relevan untuk masyarakat Malaysia pada masa depan?
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan