"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akademi Fantasia: Rugikan Umur Muda, Penerus Agenda Syaitan

ustnik
Akademi Fantasia musim ke 8 bermula. Alhamdulillah, saya bukan peminatnya.
AF bukan hanya sebuah hiburan. Ia juga bukan hanya mencari juara rakyat, eeh juara sebuah program realiti hiburan. Antara realiti hiburan fantasia tidak lama. Hidup hanya sekali. Umur muda juga singkat. Kematian pula tidak mengenal usia. Realiti kehidupan bahawa kita perlukan bekalan mengadap Allah dan menghadapi alam barzakh dan Akhirat yang lebih dahsyat.

Mereka yang menyertai AF menghabiskan sebahagian usia emas mereka untuk sesuatu yang kosong, tidak ada nilai di sisi Allah. Membetulkan suara, bes atau trebel, menghafal lagu orang lain, belajar menari untuk lagu sesuai..bla, bla, bla… hanya sebuah kesesiaan hidup dan umur muda. Ini bukan isu anti hiburan secara membuta-tuli, tetapi kerana hiburan dan industri muzik menjadi buta dari melihat hakikat hidup dan mentulikan telinga dari mendengar nasihat.

Nabi mengingatkan ‘Tidak berganjak kaki seorang manusia itu di Akhirat sehingga di tanya tentang, antaranya umur muda ke mana dihabiskan..’ Orang muda yang dapat menggunakan umur mudanya untuk sesuatu yang bermanfaat juga dipuji Nabi dalam pelbagai hadis Baginda SAW. Mengejar populariti, glamour, nama, wang yang banyak dengan kelulusan akademik yang sedikit, semuanya itu hanyalah tipu-daya dunia sahaja. Ruginya umur mudamu, ruginya, ruginya..

AF juga bukan hanya program mencari juara hiburan, tetapi hakikat dan realitinya ia adalah penerus agenda syaitan. Bukankah profesion syaitan itu mahu menyesatkan manusia? Mereka akan menggunakan segala cara, kaedah dan jalan bagi memalingkan manusia dari jalan Allah. AF mendedahkan kepada cara hidup bebas, bergaul tanpa batas, semuanya halal. Hiburan, muzik, lagu adalah aktiviti hidup paling utama. Kelalaian yang melampaui batas dihiaskan oleh syaitan sebagai sesuatu yang menarik. Setakat ini nampaknya syaitan berjaya dalam misinya. Allah tiada dalam ingatan, syarak dipinggirkan dalam kehidupan, halal haram dipersetankan.

Bagi seorang mukmin muttaqin, ia melihat apa yang dicari dan dikejar oleh peserta AF dan rakan sewaktu dengannya (Mentor, anugerah-anugerah fasiq berprestij-ABP, AJL dan lain-lain) hanya igauan fatamorgana manusia yang sedang diulit mimpi dan fantasi, yang kelak mereka akan tersedar dan terjaga di saat Mungkar Nakir menziarahinya di alam barzakh. Insaflah wahai mereka yang sedang berfantasi.

1 ulasan:

Jidiaz berkata...

Tulisan yg cukup baik. Apakah mereka faham apakah matlamat hidup yg hakiki ??? Inilah dia product pembelajaran system masakini yg tidak menitikberatkan kerohanian. Sure ramai yg marah dengan tulisan diatas dan komen ini, tapi ingatlah, sesungguh nya mati itu benar, mahsyar itu benar dan syurga neraka itu benar... terpulanglah...