"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sebut `Umno-Apco’ bukan kesalahan - Mahfuz

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 8 April:
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen semalam tetap dengan pendirian bahawa tindakan beliau menyebut ‘Umno-Apco, Apco-Umno’ di Dewan Rakyat bukan merupakan satu kesalahan.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, perkataan Umno dan Apco bukan termasuk dalam kategori perkataan unparliamentary malah ia sering kali digunkan sewaktu perbahasan dalam dewan.

"Dua perkataan yang saya sebut ini tidak menjadi satu kesalahan. Umno dan Apco bukan perkataan unparliamentary tapi dua perkataan yang memang wujud. Bukan perkataan yang bersifat lucah atau tidak baik dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam dewan," katanya kepada pemberita di lobi parlimen semalam.

Sebelum itu, Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat keputusan melalui undian suara untuk merujuk beliau ke jawatankuasa berkenaan selepas berulang kali menyebut perkataan Umno-Apco, Apco-Umno.

Usul untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu asalnya dibawa oleh Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berikutan tindakan Mahfuz itu.

Keputusan itu bagaimanapun menerima bantahan keras daripada wakil-wakil Pakatan Rakyat termasuk Mahfuz sendiri yang meminta penjelasan timbalan speaker berhubung keputusan berkenaan.

Mahfuz juga berkata, respons tidak senang wakil Barisan Nasional khususnya Umno dengan slogan itu menunujukkan mereka tertekan dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga beberapa wakil PR yang lain.

“Mereka menghadapi tekanan kuat atas pendedahan yang dibuat oleh (Datuk Seri) Anwar dan Ahli Parlimen Pakatan yang lain tentang soal tergugatnya kedaulatan negara kita akibat penyerahan beberapa sektor strategik ataupun projek-projek dalam sektor strategik membabitkan institusi strategik negara ini kepada pihak yang ada kaitan dengan Israel,” katanya.

Menyentuh mengenai keputusan Speaker Dewan Rakyat pula, beliau berkata, Wan Junaidi diilihat keliru dan tidak tegas dengan keputusan itu.

“Saya tidak mahu mempersoalkan kuasa Speaker tapi semua orang boleh lihat tadi (semalam) bagaimana flip-flop yang dilakukan beliau. Mula-mula menerima undi kemudian mengatakan usul itu salah bila ditentang oleh rakan-rakan saya dalam Pakatan. Kemudian minta saya tarik balik. Kemudian habis begitu sahaja. Kemudian kata biarlah jawatankuasa pilihan yang tentukan sedangkan sebelum itu sudah pun dikatakan bahawa usul 36(12) itu terbatal kerana ia tidak memenuhi apa yang dikatakan,” katanya.

Tiada ulasan: