"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM gagal perangi rasuah profil tinggi

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 8 April:
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, selagi kuasa pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah bidang kuasa Peguam Negara selagi itu usaha memerangi rasuah berprofil tinggi tidak berupaya dilakukan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS menggesa tindakan drastik kerajaan meletakkan SPRM di bawah Parlimen.

Tindakan itu selari dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mahu suruhanjaya bukan sahaja bebas malah dilihat dan dirasai bebas.

"Yang penting bagi saya adalah bagaimana perubahan drastik perlu dilakukan. Saya ulangi cadangan saya sebelum ini, SPRM perlu diletakkan di bawah Parlimen supaya lebih bebas menyiasat sesiapa sahaja yang didakwa rasuah," kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab pagi tadi.

Tambahnya lagi, SPRM juga seharusnya diberikan hak untuk membuat pendakwaan atas institusinya sendiri.

Sehubungan itu, Salahuddin bertanya tentang kesediaan kerajaan untuk menerima kedua-dua cadangannya itu.

Menjawab soalan itu, Liew Vui Keong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) seolah-olah menganggap cadangan Salahuddin itu sebagai suatu cadangan yang sukar.

"Di sisi Perlembagaan, setiap pendakwaan yang dibuat mestilah di bawah Peguam Negara, sekiranya mahu buat seperti yang dicadangkan, kita kena ubah Perlembagaan," ujar beliau.

Tiada ulasan: