"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Membunuh atas nama Moral

Wong Chip Choo

Apakah moral itu masih bermoral, apabila moral dijadikan senjata dalam pergelutan kuasa?

Sejak peristiwa Anwar Ibrahim pada tahun 1998, moral seks menjadi senjata yang tajam untuk menyerang musuh dalam arena politik. Pelopornya bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Sejak Anwar dituduh "sodomi", istilah "sodomi" ini tersebar luas melalui televisyen, radio dan media cetak, malah menjadi istilah yang popular di bumi yang konservatif ini. Kini, kes liwat Anwar kedua telahpun dibuka tirainya. Istilah sodomi menjadi popular kembali.

Dua tahun kebelakangan ini, istilah "oral seks" menjadi popular dalam perbualan harian di atas "bolehland" ini, setelah dihebohkan oleh musuh politik Presiden MCA, Chua Soi Lek. Sebelum ini, EXCO Selangor Elizabeth Wong juga diserang dengan isu moral lantaran daripada penyebaran foto peribadinya, yang diambil oleh teman lelakinya ketika beliau sedang tidur.

Persamaan ketiga-ketiganya adalah, mereka adalah mangsa penganiayaan. Malah, tujuan penganiaya adalah untuk mencalar imej moral mangsanya. Taktik sebegini sememangnya akan mencalar imej moral mangsanya, tetapi penganiaya juga terpalit sedikit sebanyaknya. Ini menjelaskan mengapa bekas teman lelaki Elizabeth hilang begitu sahaja, sehingga gagal dicari polis.

Siapa yang merakamkan skandal Chua Soi Lek masih kekal sebagai tanda soal hingga sekarang. Namun, "suspek"-nya telah kecundang dalam pemilihan semula baru-baru ini. Bahkan "pengarah" kes liwat pertama juga telah berundur. Cuma "mangsa" kes liwat kedua, Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar kiri) masih berada dalam keadaan yang baik, berbeza dengan watak yang sama-sama dituduh dalam kes liwat pertama.

Malah, Saiful memuatkan gambar dirinya ke facebook, blognya, seolah-olah seorang mangsa yang sangat gembira. Jadi, semua kekanda dan adinda yang dirogol seharusnya menjadikan beliau sebagai teladan.

Analisa kes moral

Sememangnya, perbincangan masalah moral pantang dengan idea yang cetek, kerana ia akan menjadikan masalah semakin rumit, malah mungkin menjurus kepada kesimpulan yang radikal. Jadi, kita harus membincangkan isu moral dengan bernas, berdasarkan kes yang konkrit.

Kes pertama, foto peribadi Elizabeth ). Secara perbandingannya, Elizabeth adalah mangsa yang tidak berdosa. Kerana gambar ini diambil ketika beliau sedang tidur oleh orang yang beliau percayai. Jadi, apakah kesalahannya? Lebih-lebih lagi, ini bukan masalah moral sepenuhnya, bahkan lebih kepada persoalan keperibadian. Jadi, adalah lebih tepat untuk mengatakan bahawa motif di sebalik tindakan ini adalah untuk mengaibkannya.

Kes yang kedua ialah kes liwat yang melibatkan Anwar. Sama ada kes pertama mahupun kedua, Anwar tidak mengaku bersalah. Ini kuncinya. Keduanya, kes ini berbau politik, ramai yang cenderung untuk mempercayai bahawa kes ini adalah penganiayaan politik.

Dalam kes pertama, Anwar menjalani hukumannya kerana penyalahgunaan kuasa, malah tuduhan liwat itu dibiarkan begitu saja pada akhirnya. Dalam kes keduanya, walaupun terdapat seorang saksi yang tampil ke depan untuk menuduh Anwar, namun orang umum masih meragui bagaimana liwat berlaku tanpa kesan "tusukan". Jadi, untuk mengatakan ia masalah moral, lebih baik ia dijelaskan sebagai penganiayaan politik menggunakan moral.

Lebih-lebih lagi, kita berdepan dengan masalah double standard dalam perundangan. Dan ini berkaitan dengan DVD skandal seks Chua Soi Lek yang akan kita bincangkan.

Double Standard

Skandal DVD seks semestinya isu keperibadian, namun ia juga masalah moral, sekurang-kurangnya masalah imej moral. Kunci persoalannya adalah pengakuan Chua Soi Lek bahawa beliaulah watak lelaki dalam DVD tersebut. Ini adalah sesuatu yang ironi. Apabila seseorang itu bersikap jujur, beliau perlu membayar harga yang lebih tinggi sebaliknya. Jadi, siapakah yang harus kita contohi, Chua Soi Lek atau VK Lingam?

Dari sudut ini, Chua Soi Lek telah menjalani hukumannya dari segi politiknya. Kita seolah-olah telah bersetuju agar isu ini dijadikan peristiwa yang sudah berlalu. Dari segi politik, kita harus beri peluang agar beliau bermula di titik permulaan yang baru. Namun, dari segi undang-undang, kejujuran Chua Soi Lek telah mencungkil satu persoalan berhubung keadilan.

Seksyen Kanun Keseksaan 377A berbunyi, "Any person who has sexual connection with another person by the introduction of the penis into the anus or mouth of the other person is said to commit carnal intercourse against the order of nature."

Anwar didakwa di bawah seksyen ini, dan oral seks juga terkandung dalam seksyen ini. Mengapa Chua Soi Lek tidak dituduh? Jelas, ini double standard. Pakatan Rakyat mungkin tidak akan menyerang masalah moral Chua Soi Lek ini, tetapi semestinya akan menyerang amalan "double standard" dalam kes ini. Jadi, DVD skandal seks Chua Soi Lek akan diikat bersama kes liwat Anwar kedua ketika dibincangkan.

Dalam keadaan di mana kes ini belum selesai, maka kemasukan Chua Soi Lek ke dalam kabinet akan menjadi beban kepada BN. Ini kerana sama ada Chua menjadi Presiden atau tidak, adalah hal ehwal dalaman MCA. Tetapi sama ada beliau memasuki kabinet, itu urusan BN, setidak-tidaknya PM. Dari satu sudut yang lebih luas, kemasukan Chua ke dalam kabinet berhubung kait dengan isu imej negara. Walaupun politik ditimbang mengikut pengaruh seseorang, tetapi perlu juga ada garis moralnya.

Atas nama moral

Selain itu, Ong Tee Keat dan Chew Mei Fun juga terjerat ke dalam dilema moral dalam pemilihan semula MCA ini. Namun, berbeza dengan ketiga-tiga kes di atas, mereka lebih kepada "meludah ke langit". Mereka berlagak seakan-akan bertindak atas nama moral, tetapi padahnya menimpa pada dirinya.

Ong Tee Keat terjerat dalam dua kes. Pertama, janjinya untuk berundur walaupun kalah satu undi dalam EGM; keduanya, plan perpaduan bersama Chua Soi Lek yang "tidak bermoral". Menurut puak Ong Tee Keat, Ong Tee Keat mengambil keputusan untuk tidak mengundur setelah berdepan dengan desakan agar beliau berundur. Hujah sedemikian hanya menjelaskan mengapa beliau mungkir janji, tetapi gagal menjelaskan mengapa dia bekerjasama dengan Chua. Masalahnya bukan bekerjasama dengan Chua, tetapi kerana serangannya terhadap Chua sebelum ini, kononnya Chua tidak bermoral. Jadi, agak sukar untuk diterima apabila Ong mengambil pendirian corner baring untuk bekerjasama dengan Chua, setelah kalah dalam EGM.

Dilema Chew Mei Fun lebih rumit berbanding Ong Tee Keat. Pertamanya, Ong Tee Keat berjasa kepada Chew, malah ketua untuk Chew dari namanya. Setelah Ong Tee Keat hilang kuasa, Chew bukan sahaja bagai kacang lupakan kulitnya, malah mendesak Ong Tee Keat dengan kata-kata yang keras. Pada hakikatnya, sesiapa yang tahu apa itu "malu", tidak akan melampaui garisan ini.

Keduanya, Chew menyerang kecacatan moral Ong Tee Keat tadi, malah mendakwa akan letak jawatan seandainya Chua Soi Lek menjadi Presiden.

Moral sebagai senjata

Kini, Chua Soi Lek menjadi Presiden. Chew hanya mempunyai dua pilihan. Pertama, undur untuk bebaskan diri dari dilema moral ini. Keduanya, kekal dan menjadikan dilema moral ini sebagai bintik hitam yang gagal dibersihkan seumur hidupnya. Walaupun sesetengah orang cuba meredakan keadaan dengan alasan bahawa Chew hanya terlanjur kata, dan seharusnya dimaafkan kerana sumbangannya sebelum ini, demi perpaduan parti dan sebagainya, namun ia agak sukar diterima.

Pertama, seandainya hujahnya dilihat tanpa konteks, ia mungkin menjadi kes "keterlanjuran kata". Tetapi seandainya dibaca dalam konteks, ia adalah satu strategi, untuk mengasak Ong Tee Keat pada ketika itu (kerana Ong Tee Keat bekerjasama dengan Chua selepas EGM). Apakah adil kepada orang yang dilukai (Ong Tee Keat), hanya dengan memberi alasan "tersasul" selepas itu?

Keduanya, adalah hal ehwal MCA untuk memaafkan Chew atau tidak. Tetapi, adakah masyarakat kita akan memaafkannya? Itu tidak ditentukan MCA. Lebih-lebih lagi, kalaupun nak maaf, biarlah mengaku salah dahulu. Kalau tidak mengaku salah, apa yang harus kita maafkan? Realitinya, imej MCA telah menjunam. Seandainya MCA masih tidak memandang berat persepsi masyarakat terhadapnya, lebih baik parti ini menggulung tikar.

Kesimpulannya, masyarakat tidak boleh wujud tanpa moral. Masyarakat yang meremehkan moral adalah masyarakat di mana manusia membaham sesama dirinya. Lihatlah apa yang berlaku di China, maka kita akan memahami mengapa perlunya ada garis untuk moral. Namun, jangan pula terlalu menonjolkan moral, kerana ia akan menjadi munafik, dan akhirnya menjadi senjata untuk membunuh orang. Keterlaluan dan ketiadaan bukannya sesuatu yang baik. Jalan yang tepat untuk moral adalah kesederhanaan.

*Wong Chip Choo ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tulisan ini disiarkan sebelum Chew Mei Fun mengumumkan perletakan jawatannya pada 8 April 2010. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: