"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usul heret Mahfuz ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen ditarik balik

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 8 April:
Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said sebentar tadi menarik balik usul yang dikemukakannya semalam supaya Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dibawa kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menyebut `Umno-APCO, APCO-Umno’.

Menggunakan Aturan Mesyuarat yang sama, 36(1)(P), beliau berbuat demikian setelah dinasihat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Saya menyahut baik (nasihat) Tuan Speaker atas apa yang diperjelaskan oleh Pokok Sena tersebut.

"(Menggunakan) usul yang sama (iaitu) 26(1)(P), saya membatalkan usul saya terdahulu," ujarnya.

Beliau juga menasihatkan Dewan Rakyat, khususnya Mahfuz sendiri supaya tidak mengulangi gelaran yang dilihat sensitif itu.

Sebelum pada itu, Mahfuz mengaku bahawa beliau berniat menyebut 'Umno APCO, APCO Umno' di Dewan Rakyat.

Pun begitu, beliau berkata, kenyataannya itu bukanlah berniat mengelirukan Dewan Rakyat.

"Saya tidak buat mengelirukan Dewan Rakyat seperti yang diusulkan oleh Kuala Krau," ujarnya.

Jelasnya lagi, Umno adalah sebuah parti politik manakala Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) pula adalah sebuah firma yang dilantik oleh kerajaan secara rasmi untuk menguruskan komunikasi negara.

Cuma, beliau bertanya, adakah Umno tidak selesa apabila rakyat menganggap APCO mempunyai hubungan langsung dengan zionis-Israel.

Sehubungan itu, beliau enggan menarik balik kenyataannya, 'Umno APCO, APCO Umno' walaupun Speaker terlebih dahulu menasihatkan beliau untuk berbuat demikian.

"Buat apa saya kena tarik balik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pandikar Amin turut mengaku bahawa wujudnya kesilapan dalam mengendalikan mesyuarat oleh timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagaimanapun, beliau dalam lafaz jenaka meminta semua pihak mengambil iktibar daripada kekecohan yang berlaku semalam.

"Jangan agresif lagi, carilah aktiviti lain,” kata beliau disambut dengan gelak ketawa di Dewan Rakyat.

Semalam, Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat keputusan melalui undian suara untuk merujuk beliau ke jawatankuasa berkenaan selepas berulang kali menyebut perkataan Umno-APCO, APCO-Umno.

Usul untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu asalnya dibawa oleh Ismail berikutan tindakan Mahfuz itu.

Keputusan itu bagaimanapun menerima bantahan keras daripada wakil-wakil Pakatan Rakyat termasuk Mahfuz sendiri yang meminta penjelasan timbalan speaker berhubung keputusan berkenaan.

Tiada ulasan: