"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Benjy mohon writ habeas corpus isytihar penangkapannya tak sah

KUALA LUMPUR, 8 April: Pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang kini dalam tahanan polis berhubung siasatan kes dadah memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mendapatkan perintah bahawa penangkapannya itu tidak sah.

Benjy, yang diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, menamakan Ketua Polis Negara sebagai responden pertama, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden kedua dan ketiga.

Dia memohon perintah supaya dihadapkan dan/atau dibawa ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan permohonan (habeas corpus) itu selain deklarasi bahawa penangkapan dan penahanannya mengikut Seksyen 3 dan/atau mana-mana Seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) adalah tidak sah, salah dan bersifat mala fide.

Benjy juga memohon perintah writ habeas corpus dikeluarkan bagi pemohon atau dibawa ke mahkamah untuk dibebaskan dengan serta merta dan selepas dibebaskan, dia tidak ditangkap atau ditahan semula.

Permohonan habeus corpus ini dibuat sejurus selepas prosiding berhubung pertuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret selesai.

Di Mahkamah Majistret, Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat berkata bahawa tindakan penahanan semula Benjy oleh pihak polis pada 25 Mac lepas, adalah satu tindakan yang betul.

“Ini kerana kes tahan semula biasa berlaku sekiranya polis mendapat maklumat dan polis juga telah memberi penjelasan mengapa Benjy ditahan semula, sebab itu saya katakan polis berada di landasan yang betul,” katanya.

Nurmadiana berkata isu yang dibangkitkan oleh Amer Hamzah bahawa beliau tidak bertemu dengan anak guamnya semasa Benjy berada dalam tahanan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 juga tidak timbul memandangkan kes pada hari ini ialah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.

Terdahulu, Amer Hamzah memohon kebenaran mahkamah untuk berjumpa anak guamnya.

Amer Hamzah berkata setiap individu mempunyai hak untuk dibela dan hanya pada 5 April lepas beliau dapat berjumpa dengan Benjy, itupun 15 minit sahaja.

“Benjy selepas membayar jaminan ditangkap semula pada 25 Mac lalu. Tindakan polis menangkap semula anak guam saya jelas menghina mahkamah, dia ditangkap pun di Kompleks Mahkamah,” katanya.

“Saya memohon budi bicara dan kerjasama dari mahkamah untuk pastikan saya dan keluarga Benjy dibenar berjumpa di mahkamah bagi tujuan untuk saya menasihati Benjy berhubung prosiding yang sedang dihadapi kini dan mengambil arahan selanjutnya,” katanya.

Amer Hamzah berkata pertemuan itu juga amat perlu bagi membincangkan permohonan habeas corpus yang ingin dibuat dan pihaknya perlu mendapatkan tandatangan Benjy pada afidavit yang telah dibuat.

Majistret Hafizza Sauni kemudiannya membenarkan Amer Hamzah berjumpa dengan anak lelaki seniwati Azean Irdawaty itu setelah menangguhkan prosiding kira-kira setengah jam.

Selepas pertemuan itu, Benjy yang pada awalnya memakai baju lokap polis ketika di awal prosiding, sempat menukarnya kepada kemeja berwarna hitam dan kelihatan Azean menunjukkan isyarat tangan menandakan bagus sebagai tanda sokongan terhadap anak lelaki tunggalnya itu ketika prosiding disambung semula.

Pada 25 Mac lalu, Benjy mengaku tidak bersalah memiliki 0.24 gram dadah itu di sebuah unit di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hafizza menetapkan 12 Mei untuk sebutan kes itu setelah membenarkan permohonan Amer Hamzah untuk yang mewakili Benjy bahawa pihaknya akan membuat representasi atas pertuduhan tersebut.

-Bernama-

Tiada ulasan: