PANDAN INDAH: Sepasang kekasih yang sedang lena dibuai mimpi terkejut apabila Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu di salah sebuah unit kondominium di Pandan Perdana, awal pagi semalam kerana disyaki berkhalwat.
Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman berkata, operasi kira-kira jam 3 pagi itu dilakukan setelah pihaknya menerima maklumat serta aduan orang awam.
“Setibanya di lokasi, didapati pintu rumah tidak dikunci dan keadaan ruang tamu agak gelap. Setelah lampu rumah dibuka, kami mendapati pasangan tersebut tidur di ruang tamu.
“Anggota penguat kuasa terus memperkenalkan diri setelah mengejutkan pasangan terbabit,” katanya.
Menurutnya, sebelum pihaknya menyerbu rumah dipercayai disewa teman wanita pasangan itu, pegawai Masjid Al-Azmin mendapati pintu rumah itu ditampal ‘angpow’ Tahun Baru Cina dan beberapa tanglong bertujuan bagi mengaburi jiran tetangga dan pihak penguatkuasa.
Ahmad Nawi berkata, ketika tangkapan, lelaki berkenaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek, manakala teman wanitanya berpakaian lengkap dan berseluar pendek.
“Pasangan terbabit dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk membolehkan pihaknya membuat laporan.
“Kami hanya menjalankan tindakan di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabitkan kesalahan mereka boleh di denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pada masa sama, pegawai Masjid Al-Azim turut menjalankan Operasi Cegah Maksiat yang bermula pada jam 12.30 malam hingga jam 7 pagi di beberapa kawasan tumpuan seperti di Bukit Langat, Bukit Permai dan pihaknya turut memantau di beberapa kawasan sekitar taman permainan dan padang di Pandan Indah, Pandan Jaya dan Pandan Perdana dalam usaha memerangi aktiviti tidak bermoral.
“Seramai 90 remaja ditahan di dalam operasi itu di beberapa lokasi berasi- ngan, pihak kami turut berhadapan dengan beberapa remaja yang ‘keras kepala’ ketika kami melakukan operasi di Bukit Langat.
“Bagaimanapun perkara tersebut berjaya dikawal setelah kami memberi penerangan dan taklimat ringkas kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Nawi berkata, pihaknya telah mengambil maklumat kesemua remaja terbabit dan mereka perlu menghadiri sesi kaunseling di Masjid Al-Azim Pandan Indah.
“Tindakan tegas akan diberikan jika mereka ingkar dan tidak menghadiri sesi kaunseling tersebut,” katanya.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan di bawah Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara.
“Kami tidak teragak-agak menyerahkan mereka kepada pihak Jais untuk dikenakan tindakan lanjut apabila didapati melakukan perbuatan yang sama berulang serta ingkar menghadiri sesi kaunseling tanpa memberi alasan kukuh.
”Saya berharap mereka dapat memberi kerjasama atau berhadapan tindakan tegas daripada Jais,” katanya.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan