"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami Mati Ditikam Enam Lelaki, Polis Tahan Isteri Bantu Siasatan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia mati selepas ditikam oleh enam lelaki dalam satu pergaduhan di rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya dekat sini kira-kira pukul 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata polis menahan isteri lelaki yang berumur 24 tahun itu yang dipercayai turut terbabit dengan kejadian bagi membantu siasatan, manakala enam lagi suspek melarikan diri.

Beliau berkata lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu maut selepas ditikam oleh enam suspek yang merupakan rakannya, yang juga warga Indonesia.

Katanya polis percaya kejadian berpunca daripada pertengkaran apabila lelaki itu dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada salah seorang daripada enam lelaki berkenaan.

"Dia ditikam di rumahnya di tingkat lima, kemudian dia melarikan diri ke tingkat dua dan mati di situ," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya lelaki itu mati akibat ditikam berkali-kali dengan senjata tajam seperti pisau dan parang, dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Arjunaidi berkata polis sedang berusaha memburu enam suspek yang dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang. 
-Bernama-

Tiada ulasan: