"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar : 'Kesilapan Besar Ugut Keluarga Saya'

SHAH ALAM, 14 MEI: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pihak yang mengancam beliau dan keluarganya melakukan kesilapan besar, jika beranggapan mereka akan tunduk kepada ugutan sebegitu.

Semalam anak sulung Anwar, Nurul Izzah membuat laporan polis terhadap sistem pesanan ringkas (SMS) yang mengancam "sesuatu yang tidak elok" ke atas kepada anaknya jika beliau terus menyokong ayahnya.

“Saya boleh tahan. Ini kemudian isteri, anak dan terbaru cucu. Tapi saya rasa orang yang telah cuba untuk membuat ugutan ini telah melakukan kesilapan yang besar. Jika mereka ingin menumpulkan semangat, mereka silap dan kita akan terus menumpukan gerak kerja kita,” kata Anwar.

Nurul Izzah mempunyai dua orang anak - Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar, 3 tahun setengah dan Raja Ahmad Harith Raja Ahmad Shahrir Iskandar, yang berusia 1 tahun 10 bulan.

Bulan lalu, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail turut berada dalam keadaan membahayakan apabila kereta yang dinaikinya terbabas dalam perjalanan pulang dari memberi ceramah di Chemor Perak.

Pemeriksaan oleh mekanik mendapati sistem brek kereta Mercedez Benz itu dipercayai disabotaj oleh pihak tertentu.

Anwar menambah, pihak mekanik juga telah mengeluarkan surat hitam putih mengesahkan bahawa kereta yang dinaiki Azizah disabotaj.

“Memang benar, selain kepada saya, Azizah juga terlibat dengan satu kemalangan. Mekanik mengesahkan, hitam putih bahawa itu adalah satu sabotaj. Itulah sebab kita membuat laporan polis,” katanya.

Pemandu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah Sani Said membuat laporan polis itu.

Beliau yang menjadi pemandu keluarga Anwar selama 28 tahun, percaya kereta itu dirosakkan dengan niat jahat dan mahukan polis menyiasat.
-tvsnews-

Tiada ulasan: