Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi didakwa difitnah apabila dituduh menggunakan perkataan kesat “pandi kutty' terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada satu ceramah di Klang Sabtu lalu.
TV Selangor yang merakamkan ceramah penuh itu dalam laporannya hari ini berkata pita mereka langsung tidak menunjukkan Anwar menghamburkan perkataan kesat itu terhadap Najib.
Sebaliknya, pada ceramah itu Anwar membidas Najib dan taktik kotor politik yang digunakan Umno untuk menjatuhkan beliau.
Katanya, Umno-BN sebagai parti terdesak yang menggunakan video lucah untuk mengaibkannya.
Berikut adalah petikan ucapan Anwar yang dimaksudkan di Dewan Hamzah Klang itu apabila perkataan pandi kutty disebut:
"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul "pandi kutti."
Pada ceramah itu juga, Anwar berkata perkataan pandi kutty mungkin dianggap kasar namun mengingatkan hadirin di ceramah bahawa tidak ada dalam mana-mana budaya di dunia ini menggunakan taktik-taktik kotor seperti video lucah untuk menjatuhkan pemimpin politik.
"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu, Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada,” kata Anwar pada ceramah itu.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan muka depan komen juak-juak Umno yang membidas Anwar, kerana kononnya menggunakan ungkapan pandi kutty terhadap Perdana Menteri .
Malah, akhbar milik Umno itu mencetak reaksi lucah seperti pemimpin Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin yang berkata Anwar mengalami “sindrom pra-haid (PMS), kesan daripada kes liwat dan video seks yang sedang dihadapinya.”
Hamidzun seperti pemimpin-pemimpin Umno yang lain termasuk Khairy Jamaluddin, Ibrahim Ali dan Mohammad Ezam Mohd Noor membidas Anwar hanya berasaskan laporan Utusan, tanpa mengesahkan kesahihan komen Anwar itu.
Utusan Malaysia sebelum ini diselar pelbagai pihak kerana kerap menyiarkan berita fitnah termasuk isu video lucah untuk mengaibkan Anwar.
Sabtu lalu, akhbar itu mendakwa golongan paderi bersekongkol dengan DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini.
Mengulas isu yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam laporan Bernama, berkata kata-kata kesat yang dilemparkan itu tidak menjejaskan waktu tidur beliau.
"Ini tak menyebabkan saya tak tidur jendera (lena) waktu malam kerana dia (Anwar) buat sebutan sebegitu sebab saya yakin rakyat boleh menilai perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin sepertinya," katanya.
Bernama juga melaporkan Najib berkata ketua umum PKR itu sebagai sudah terjebak mengamalkan politik tidak beretika dan yakin rakyat boleh menilai sikap sebenar Anwar.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan