"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersih tambah 2 tuntutan lagi

Mohd Sabri Said
BUKIT MERTAJAM, 26 Mei: AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar) berkata, pihak Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) menambah dua lagi tuntutan iaitu masa berkempen dan perbelanjaan pilihan raya termasuk penyelewengan penggunaan harta kerajaan.
Ini, katanya menjadikan kesemuanya enam tuntutan menjelang Perhimpunan Bersih 2 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Masa berkempen 10 hari sebagaimana hari ini, tambahnya, tidak sesuai kerana menghadkan kebebasan parti terutamanya Pakatan Rakyat untuk menerangkan keseluruhan mesej yang ingin dibawa demi kebaikan rakyat.

Tegasnya, Bersih meminta sekurang-kurangnya tiga minggu kerana masa tersebut boleh digunakan sebaik mungkin menyalurkan maklumat kepada rakyat akar umbi.

"Bersih menambah dua lagi tuntutan menjadikan enam kesemuanya. Kita akan pastikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) akur dengan kehendak tersebut, " jelasnya ketika ditanya selepas menyampaikan ceramah di sini semalam.

Katanya, satu lagi tuntutan ialah mahu memastikan tidak lagi berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan setiap kali pilihan raya diadakan.

Malaysia terangnya, ketinggalan jauh di belakang negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand berkaitan pilihan raya kerana masih menggunakan kaedah lapuk untuk menyelamatkan kerusi BN daripada tumpas kepada pembangkang.

"Di Singapura sendiri dah pun matang di mana siaran TV memberi ruang sebebas-bebasnya kepada semua pimpinan parti bertanding bersuara. Begitu juga di Thailand memberi masa dua bulan kepada semua parti berkempen menceritakan manifesto.

“Kalau di Malaysia hanya muka Datuk Seri Najib Razak dan konco-konconya sahaja bercakap menerangkan konsep kerajaan. Pembangkang ditindas dari terus bersuara," jelas beliau.

Empat tuntutan yang pernah dibawa oleh Bersih pada perhimpunan pertama ialah mendaftar pengundi automatik, penggunaan dakwat kekal, penghapusan undi pos dan kebebasan media.

Tiada ulasan: