26 Mei lalu, Haji Mohamad Sabu, AJK PAS Pusat yang terkenal dengan gelaran Mat Sabu diundang ke Mersing. Beliau menjayakan 3 program bermula lepas zuhur hingga ke malam. Orang PAS bersyukur sementara orang UMNO geram.
Kehadiran beliau menyebabkan pimpinan PAS Mersing dan pihak Polis pusing kepala. Dikatakan Mat Sabu merupakan tokoh yang boleh buat kutipan tinggi. Keupayaan mantan tahanan ISA ini mengimbau audien tidak disangkal lagi. Justeru, permohonan permit untuk beliau berceramah di Kg Semaloi terpaksa ditolak.
Sementara itu ada pimpinan yang mahu Mat Sabu diturunkan di sebelah Mersing. Tambahan pula jika mahu buat kutipan tinggi sewajarnya buat di Mersing bukan sebelah Endau, apatah lagi di Kg Semaloi.
Polis memang maklum dengan tarikan Mat Sabu, maka lokasi tidak sesuai, jalan sempit menjadi alasan penolakan. Dalam kesuntukan waktu, seperti biasa ceramah dipindahkan ke Kg Semanyir, namun di permis sendiri ini pun pihak Polis masih enggan melepaskan permit yang bukan percuma itu.
Polis dikatakan akan turun beramai-ramai. Ada pimpinan PAS risau. Mungkinkah Polis akan buat kacau? Kemanakah Mat Sabu hendak dibawa lari? Bagaimanakah situasi dihadapi? Apa cara agar ceramah dapat diteruskan? Bilakah kutipan derma perlu dibuat?
Menurut Hj Roslan Nikmat, YDP PAS Kaw Mersing, Polis tidak mahu beri permit kerana permohonan dibuat sudah terlewat. Dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Pecah Tanah Markaz Kg Bukit Rompin, Hj Roslan melontarkan pandangan pribadinya bahawa penolakan permohonan permit ceramah oleh pihak Polis kerana Dr Latif akan datang berkunjung ke Kg Semaloi.
Penulis dimaklumkan bahawa pihak Polis akan turun beramai-ramai ke program ceramah Mat Sabu di Kg Semanyir. Rakan-rakan berpesan supaya jangan pakai selipar. Nanti susah mahu lari. Abang topi merah juga mahu hadir di Semanyir.
Sampai masa, memang khalayak cukup ramai. Namun kawasan parkir yang luas dan petugas keselamatan PAS yang bertungkus-lumus di setiap lokasi menyebabkan kesesakan dapat dielakkan. Ceramah pula dibuat di bahagian bangunan tambahan sebelah PASTI An Nur. Di sini wujud kelegaan buat audien. Penggerai pula diminta masuk ke dalam pagar PASTI.
Pihak Polis hadir sebelum asar lagi! Kekuatan anggota dari pelbagai unit ditambah masa demi masa. Black Maria pun ada! SB sudah tentu siap sedia. Jika pihak Polis hendak gempur dan tangkap orang ramai memang tidak menjadi masalah, sebab audien semuanya dalam kawasan berpagar. Polis pula boleh akses diri segenap penjuru.
Penulis tidak begitu mengikuti caramah Mat Sabu. Tambahan pula beliau tidak mengetengahkan isu baru. Isu yang dilontar, bagi setengah orang ditanggapi sebagai sudah tawar, namun gaya Mat Sabu mengulas menyebabkan audien tidak berganjak pergi. Banyak kali mereka ketawa geli hati... Mereka pun tidak sedar pihak Polis asyik memerhati.
Siapa sangka, malam itu Mat Sabu mengambil kesempatan menyampaikan maklumat kepada pihak polis untuk mereka fikirkan. Di antara isu yang abang Mat lontarkan:
1) Sejauh manakah perjalanan demokrasi di Malaysia,
2) Sejauh manakah PR mampu mengambilalih Putrajaya
3) Sejauh manakah sistem pilihanraya perlu diperbaiki.
Jam 11.15 majlis tamat.
Bagi penulis, tindakan Polis memang wajar. Mereka mesti pastikan penganjur ceramah mengadakan majlis di lokasi yang munasabah. Melarang ceramah oleh tokoh besar di lokasi sempit yang menyebabkan semua pihak dihimpit sukar bukanlah tindakan kurang ajar.
Di tengah kesibukan audien, petugas dan pasukan keselamatan mencari jalan pulang, beberapa orang SB menegur penulis, mengacung jari, menepuk bahu ataupun senyum melebar. Tugas mereka tamat pantas dan tuntas. Kasut kilat mereka sedikitpun tidak jejas.
Penulis lihat petugas PAS tersenyum puas. Hj Roslan juga ucapkan terima kasih kepada banyak pihak sambil memandu kereta membawa abang Mat keluar dari lokasi ceramah. Barangkali ketiadaan gangguan pihak Polis, kehadiran yang ramai dan kutipan derma yang memberangsangkan menyebabkan beliau mampu menarik nafas lega.
Sebelum melelapkan mata penulis berfikir sendiri. Lain kali jika ada tokoh besar datang ke Mersing, Hj Malek Jusoh, Ketua Penerangan PAS Kaw Mersing yang baru patut buat surat jemputan kepada pihak Polis. Jemput mereka hadir ramai-ramai mendengar ceramah. Ingatlah bahawa Polis bukan musuh kita sampai mati. Mereka juga ada kuasa undi yang kita kena hormati.
Apa kata, lain kali PAS Kaw Mersing buat ceramah di Dewan China pula?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan