"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tanah runtuh: Mangsa seperti dihempap 600 lori

Harakahdaily
HULU LANGAT, 23 Mei: Dianggarkan sejumlah 3,506 meter padu tanah atau bersamaan dengan 600 buah lori yang menimbus sejumlah 25 pelajar dan warden dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat pada Sabtu lalu.

Perkara itu didedahkan Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir Ashaari Mohamad ketika memberi taklimat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melawat lokasi kejadian lewat petang ini.

"Bahkan dari maklumat yang kita perolehi, sesetengah dari mangsa bukan sahaja ditimbus oleh tanah, malah juga batu besar yang menghimpit mereka," katanya.

Selain Tan Sri Khalid, turut serta melawat lokasi kejadian petang tadi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Exco Kerajaan Negeri Selangor Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Dr Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong, SUK, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Ahli Parlimen Hulu Langat Che Rosli Che Mat.

Ashaari Mohamad juga berkata antara faktor tanah runtuh tersebut berlaku kerana hujan lebat luar biasa selama tiga hari mengakibatkan stuktur tanah menjadi lemah.

Menjelas lanjut beliau berkata, berdasarkan data taburan hujan yang diperoleh untuk tiga hari, sejumlah 29 milimeter (mm) hujan turun di kawasan itu pada Khamis, diikuti 41 mm pada hari berikutnya dan meningkat mendadak kepada 80 mm pada hari kejadian.

Ashaari berkata berdasarkan tinjauan pihaknya ke kawasan dan puncak cerun berhampiran tanah runtuh itu, terdapat lurah laluan air yang menuju ke kawasan runtuhan.

Selain itu, pokok-pokok yang ditebang di sekitar kawasan itu juga menyebabkan kawasan berkenaan menjadi laluan air apabila hujan.

Kedudukan bangunan itu juga katanya sememangnya tidak selamat ekoran terletak terlalu hampir iaitu sekitar tujuh meter atau 25 kaki dari cerun yang hampir tegak iaitu antara 75 hingga 80 darjah.

Disamping itu beberapa rekahan lama juga terdapat di bangunan madrasah tersebut yang menunjukkan kawasan tersebut beresiko ditimpa tanah runtuh.

Sementara itu Menteri Besar Selangor itu turut meluangkan masa melawat ke penempatan sementara penghuni madrasah dan anggota keluarga yang disediakan kerajaan negeri di Azwin Resort.

Beliau menasihatkan semua keluarga yang terlibat bersabar menerima ujian Allah itu.

Khalid membatalkan menghadiri seminar kepimpinan di Institut Aspen Colorado, Amerika Syarikat dan bergegas pulang ke tanahair susulan berlakunya kejadian tanah runtuh di Felcra Semungkis di Hulu Langat yang mengorbankan 16 kanak-kanak itu.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu 25 pelajar serta warden terbabit sedang berlatih kompang dan nasyid bagi meraikan kedatangan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pukul 5 petang.

Khemah itu sememangnya dipasang untuk majlis tersebut yang terletak bersebelahan tebing.

Ekoran kejadian itu, sembilan daripada pelajar yang terlibat selamat dan 16 lagi terkorban.

Tiada ulasan: