"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohd Sidek (KSN) cakap tak serupa bikin

Please walk the talk Mohd Sidek!
Ahmad Tajdid
KETUA Setiausaha Negara (KSN) dilaporkan menghantar memo kepada kakitangan kerajaan supaya bersikap non-partisan apabila melaksanakan tugas masing-masing. Nasihat Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya kakitangan kerajaan meninggalkan pegangan politik mereka ketika menjalankan tugas memang patut disokong. Sepatut dan sewajarnya sikap sedemikian diamalkan oleh kakitangan kerajaan - sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan - kerana tugas mereka adalah berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah (government of the day) dan bukannya kepada tuan politik (political masters).

Dalam sebuah negara demokrasi berpaksikan parlimen dan Raja Berperlembagaan, kakitangan kerajaan mempunyai 'wilayah tadbirnya' sendiri. Ia bukan satu keistimewaan tetapi adalah satu keperluan untuk memastikan segala keputusan dan tindakan yang diambil tidak dipengaruhi kepentingan politik pihak yang memerintah.

Kita sering mendengar ungkapan 'little Napolean' yang selalu diwar-warkan oleh aktivis politik bagi mengecam sesetengah kakitangan kerajaan atau lebih tepatnya ketua-ketua jabatan yang enggan mengikut arahan 'orang politik'. Dan selalunya kecaman-kecaman itu ditujukan kepada ketua-ketua jabatan yang punyai kuasa untuk meluluskan sesuatu tender atau projek. Baru-baru ini 'keributan' muncul apabila seorang ketua jabatan yang dikenali ketegasannya dalam berhadapan orang-orang politik diarah bertukar ke jabatan lain kerana sikapnya itu tidak digemari mereka yang berkuasa.

Sayangnya ketua jabatan tersebut tidak pula mendapat pembelaan KSN kerana seperti biasa Mohd Sidek juga sebenarnya lebih memilih untuk berkhidmat kepada 'political masters' daripada berkhidmat untuk rakyat.

Dalam memonya juga, Mohd Sidek mengingatkan bahawa tugas kakitangan kerajaan adalah untuk melaksanakan polisi kerajaan memerintah yang dipilih rakyat. Walaupun terdapat empat negeri yang diperintah oleh kerajaan yang berlainan daripada kerajaan persekutuan, mereka perlu memenuhi hasrat dan polisi kerajaan negeri yang memerintah.

Tapi persoalannya, adakah Mohd Sidek sendiri mematuhi apa yang dinasihatkan kepada orang-orang bawahannya?

Beberapa bulan lalu, satu mesyuarat (atau dipanggil makmal) tentang hal ehwal pentadbiran tanah telah diadakan di Putrajaya. Antara peserta makmal perbincangan itu ialah wakil Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri. Bagaimanapun makmal yang dipengerusikan Mohd Sidek tidak menjemput wakil-wakil PTG daripada negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat. Tindak-tanduk Mohd Sidek ini tidak dipersetujui oleh pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat kerana bagi mereka mengetepikan PTG daripada negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dalam makmal perbincangan itu samalah seperti mengetepikan rakyat di empat negeri tersebut.

Kita juga tentunya masih ingat tentang peranan, sikap dan tindak tanduk KSN dalam krisis rampasan kuasa di Perak juga isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Selangor awal tahun ini. Maka bolehlah disimpulkan bahawa Mohd Sidek mempunyai suatu lagi kewajipan iaitu perlu berani menjadi contoh teladan kepada ratusan ribu kakitangan kerajaan dengan berpegang kepada etika dan prinsip perkhidmatan dan tidak mudah tunduk kepada arahan tuan politik.

Jika keberanian tidak wujud dalam diri beliau, maka memo yang dihantar itu hanyalah sekadar secebis kertas atau mel elektronik (mel-e) yang tiada nilai dan harga.

Sebenarnya banyak contoh boleh dikutip bagi mendedahkan betapa tidak profesionalnya sesetengah jabatan kerajaan dalam menangani isu hubungan kerajaan negeri - persekutuan di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat. Semuanya ini berpunca daripada sikap tidak menghormati 'government of the day' akibat arahan tuan politik (political master) di peringkat persekutuan.

Contoh paling mudah dan dianggap remeh tetapi sebenarnya mempunyai implikasi yang besar adalah penggantungan gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri di premis-premis yang dimiliki kerajaan persekutuan.

Sudah menjadi rahsia umum bahawa gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri diperintah Pakatan Rakyat tidak digantung atau dipamerkan di premis-premis milik kerajaan persekutuan. Di sekolah-sekolah suatu masa dahulu, gambar Menteri Besar/Ketua Menteri digantung bersekali dengan gambar Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Sultan dan Sultanah, Yang Dipertua Negeri juga Perdana Menteri.

Bagaimanapun kini, amat jarang kelihatan gambar Menteri Besar/Ketua Menteri digantung di premis sekolah milik Kementerian Pelajaran. Gambar Menteri Besar/Ketua Menteri diganti pula dengan gambar menteri pelajaran, pengarah pelajaran persekutuan dan negeri.

Umum mengetahui bahawa gambar-gambar itu digantung dengan tujuan memperkenalkan ketua negara dan ketua kerajaan kepada orang ramai. Ia juga boleh memupuk semangat menghormati pemimpin negara dan sistem bernegara yang kita amalkan. Tindakan tidak menggantung gambar Menteri Besar/Ketua Menteri di samping gambar Perdana Menteri di premis milik kerajaan persekutuan di negeri-negeri Pakatan Rakyat samalah seperti tidak menghormati pilihan rakyat negeri itu, sekaligus tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan.

Ia juga memberi isyarat yang salah kepada rakyat khususnya para pelajar bahawa dalam sistem bernegara yang kita amalkan, ada kerajaan dan pemimpin yang perlu kita hormati dan ada kerajaan dan pemimpin yang tidak perlu kita hormati.

Saranan Mohd Sidek supaya kakitangan kerajaan bersikap non-partisan ketika menjalankan tugas memang wajar disokong. Tetapi saranan itu wajar disusuli dengan tindakan. Dan tindakan awal yang patut dilakukan Mohd Sidek adalah mengarahkan supaya gambar Menteri Besar Kelantan, Kedah, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang digantung di premis-premis milik kerajaan persekutuan!

Tiada ulasan: