"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pusat Hiburan Di Kedah Beroperasi Seperti Biasa


AMPANG, 17 JULAI: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memaklumkan penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 di negeri Kedah boleh beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan nanti, namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Menurut Abdul Hadi, kekeliruan yang berlaku sebelum ini sengaja ditimbulkan media arus perdana dengan menyiarkan laporan tidak tepat hingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

Malah, katanya keputusan yang dibuat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang diluluskan oleh Umno-Barisan Nasional(BN) ketika mentabir negeri itu sebelum ini.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, undang -undang itu telah “diperbetulkan” agar hak orang bukan Islam tidak dinafikan dalam pentadbiran negeriPakatan Rakyat.

Ujarnya lagi, pusat hiburan di Kedah kini dibenarkan untuk beroperasi pada bulan Ramadhan nanti dengan syarat pihak pengurusan premis itu menguatkuasakan larangan kepada orang Islam untuk tidak memasuki premis terbabit.

“Kita sudah dapat maklum balas daripada pihak pengurusan premis hiburan dan rakan-rakan pemimpin Pakatan Rakyat dan mendapati laporan media yang disiarkan tidak tepat,"katanya memetik laporan The Malaysian Insider.

“Media BN sengaja gunakan isu ini, jadi PAS ambil jalan menyelesaian iaitu hak orang bukan Islam walaupun diharamkan dalam Islam tapi mereka ada hak dan yang kedua hak orang Islam tidak boleh melakukan maksiat," ujarnya lagi.

“Jadi orang bukan Islam sahaja boleh masuk (pusat hiburan), jangan bagi orang Islam masuk,” katanya pada sidang media di sini sambil menambah tindakan akan diambil ke atas mana-mana pusat hiburan yang membenarkan orang Islam memasuki premis mereka,"katanya.

Jelas Abdul Hadi, berdasarkan keterangan yang diberikan Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat hari ini, pusat hiburan boleh ditarik lesen sekiranya didapati membenarkan orang Islam memasuki premis pada bulan Ramadan.

Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997 itu melarang pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar serta di  warung kopi, karaoke dan disko.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat ia tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.
-tvsnews

Tiada ulasan: