Majdan Dagang
1. Jangan fikir kami penyokong Pakatan Rakyat (PR) mahu turunkan Umno-BN kerana anda telah lama memerintah. Bukan sebab itu. Kami mahu anda turun sebab anda tidak lagi amanah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Banyak bukti yang terang lagi jelas sikap tidak amanah anda termasuklah laporan oleh audit negara tentang salah guna dana awam sebanyak RM250 juta dalam kes NFC. Kalau anda amanah, kami benarkan anda terus berkuasa sampai bila-bila. Sebagai Muslim pula, sikap tidak amanah yang paling besar ialah apabila anda menolak hukum Allah dengan pelbagai alasan. Anda mencari dalih untuk tidak melaksanakannya, bukan mencari jalan untuk melaksanakannya.
2. Jangan fikir bumi Malaysia ini milik suatu kaum sahaja. Kita mesti menerima hakikat bahawa orang Melayu, Cina, India, Kadazana, Iban dan lain-lain kini berada di bawah satu bumbung. Hal in kerana, semasa menerima kemerdekaan dahulu Umno telah menerima syarat British bahawa kemerdekaan ini mestilah menerima orang Cina dan India sekali sebagai warganegara. Sebagai imbalannya diwujudkan hak istimewa orang Melayu – untuk melindungi dan membetulkan kedudukan orang Melayu sebagai bangsa terbesar di Tanah Melayu yang terpinggir semasa British berkuasa.
3. Jangan anggap penyokong PR tidak patriotik semata-mata kerana kami tidak menyokong Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Kami juga seperti rakyat Malaysia yang lain rela berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan tanah tumpah darah ini – bukan berkorban demi mempertahankan Umno-BN. Takkan tak tahu perbezaan antara berkorban untuk negara dan berkorban untuk parti! Umno-BN hanyalah sebuah parti yang menang pilihan raya dan boleh diturunkan apabila tidak lagi mendapat undi majoriti. Parti yang memerintah boleh ditukar ganti tetapi negara tumpah darah ini tiada duanya.
4. Jangan ingat semua rakyat tidak tahu langsung tentang ilmu kenegaraan, konsep kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sebagainya. Sudah ramai yang memahami tentang bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri, tanggungjawab kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Oleh itu, janganlah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau menyalahkan kerajaan negeri yang dikuasai PR kerana tidak berbuat itu atau ini, sedangkan perkara tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.
5. Janganlah menuduh mana-mana penjawat awam yang telah bersara tidak mengenang budi kerajaan kerana mengisytiharkan menyokong PR. Takkan lah anda tak tahu beza antara makan gaji dengan kerajaan dengan makan gaji dengan parti. Kakitangan awam itu bekerja dan makan gaji dengan kerajaan Malaysia bukan makan gaji dengan Umno-BN. Kerajaan Malaysia milik rakyat Malaysia dan bukan milik Umno-BN. Jadi mereka bebas menyatakan pendirian mereka untuk sokong mana-mana parti pun!
6. Jangan diskriminasikan rakyat di mana-mana kawasan yang tidak dimenangi oleh Umno-BN. Ingat! Kami juga pembayar cukai dan berhak menikmati apa-apa pembangunan dan kemudahan. Bukan penyokong Umno-BN sahaja yang bayar cukai. Contohilah kerajaan negeri di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang – bantuan yang diberikan tidak pernah mengira sama ada seseorang itu penyokong PR mahu pun penyokong Umno-BN.
7. Jangan ingat rakyat tak tahu apa-apa pasal negara luar. Contohnya, setiap kali harga minyak dinaikkan, anda memberikan alasan bahawa harga itu lebih murah berbanding negara serantau – dan carta perbandingan akan dikeluarkan untuk mengukuhkan tindakan anda. Tak kanlah setiap kali ada kenaikan alasan yang sama digunakan, sudah kehabisan faktakah? Sepatutnya, anda juga mesti membandingkan juga harga kenderaan, gaji, hartanah, kos pengajian dan sebagainya. Rakyat tidaklah menentang apa-apa kenaikan kos cukai dan sebagainya tetapi biarlah dibuat atas alasan yang betul dan pada masa yang sama pemimpin juga perlu berjimat cermat. Jangan jadi seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan lurus sedangkan dia sendiri berjalan mengiring!
8. Jangan gula-gulakan rakyat dengan BR1M, KR1M, TR1M dan sebagainya. Anda beri sekelompok rakyat sedikit habuan tetapi anda ambil banyak. Contoh yang paling mudah ialah elaun keraian sebulan perdana menteri adalah RM18,865, timbalan perdana menteri (RM15,015), menteri persekutuan (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000). Itu baru elaun keraian untuk sebulan! Belum dikira gaji dan lain-lain elaun serta pelbagai lagi kemudahan. Anda perlu sedar bahawa duit gaji tu rakyat yang bayar, tol anda rakyat yang bayar dan duit minyak kenderaan rakyat yang bayar. Alih-alih kamu minta rakyat berterima kasih kepada kerajaan kerana beri BR1M RM500 setahun! Apa barang....!
9. Jangan salahkan rakyat apabila semakin ramai yang tidak mengundi Umno-BN. Jangan lah menganggap setiap teguran dan kritikan itu bermakna rakyat tidak suka anda. Bukan semua kritikan itu mahu menjatuhkan anda. Sebenarnya, rakyat mahukan yang terbaik dari anda tetapi apabila setiap kritikan dan teguran dianggap mencabar kuasa, akhirnya rakyat meletakkan bahawa tiada cara lain untuk menegur Umno-BN selain kertas undi.
10. Jangan ingat Umno-BN akan kekal berkuasa selama-lamanya. Jangan ingat anda tidak mati suatu hari nanti. Di dunia ini tiada yang kekal dan kebal. Anda boleh menang dengan cara yang tidak sihat tetapi akhirnya akan menemui titik noktah. Mungkin juga parti anda boleh menang beratus tahun lagi, tetapi anda tidak. Setiap penganiayaan terhadap rakyat dan musuh politik kamu – kami akan tuntut keadilannya diakhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan