Subky Latif
SEKALIPUN SPR berjaya membantu BN mengumumkan menang lagi Pilihan Raya Umum tetapi kemenangan yang pertikai itu adalah lebih buruk dari di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi dulu.
Gara-gara PRU13 pimpinan Najib dalam UMNO dan BN menghadapi dua kecederaan.
Pertama pimpinannya di pusat dia diselamatkan oleh perlembagaan yang menolak kemenangan undi popular. Perlembagaan mengakui kelebihan kerusi, bukan kelebihan undi yang menyeluruh. Pimpinan Najib gagal mencapai majoriti dua pertiga di Parlimen seperti yang diwar-war sebelum PRU, bahkan kerusinya merosot dari 2008 dulu.
Kedua, Najib adalah pengerusi UMNO dan BN Selangor. Dia ambil pimpinan UMNO negeri dari Tan Sri Mohamad Taib sebagai usaha merampas kerajaan Selangor di luar pilihan raya seperti yang dilakukannya di Perak. BN bukan saja hancur di Selangor, bahkan UMNO mengalami kecederaan parah.
Najib dalam jelajah pilihan rayanya minta maaf kepada rakyat dan pengundi di Selangor atas kegagalan pimpinan Abdullah Badawi – Khir Toyo hingga menyebabkan rakyat Selangor menolak BN. Rakyat Selangor tidak memaafkannya. Bukan saja kerajaan Pakatan tidak dapat ditumbangkan sebelum pilihan raya, bahkan Pakatan mencapai kemenangan lebih besar di Selangor.
Najib berjaya menjadikan UMNO Selangor ranggi di bawah pimpinannya. Dikutuknya kerajaan dan Menteri Bbesar Selangor hampir setiap hari. Tan Sri Khalid Ibrahim dijadikannya seperti cacing kepanasan, seolah-olah menunggu pilihan raya, lepas itu hilanglah dia.
Orang kuat Najib, Noh Omar dan Mohd Zin seolah-olah pemerintah Selangor. Mereka seolah-olah lebih berkuasa dari Menteri.
Walaupun UMNO Selangor ranggi tetapi ia gagal menamakan calon Menteri Besarnya. Setelah Najib mengumumkan nama calon, masih belum berani menamakan seorang calon MB. Dibarangkannya empat calon. Mengapa tidak satu nama saja? Mengapa empat? Orang pun tidak peduli sangat siapa antara empat itu tidak kalah?
Bila keputusaan PRU diumumkan Pakatan Selangor menang lebih besar dari PRU 2008. Paling menjolok mata orang kuat UMNO, Dato Mohd Zain kalah di kampung halamannya. Dia kalah dengan calon luar dan bukan anak Selangor. Hanipa Maidin yang mengalahkan Mohd Zain itu rupanya pun bukan macam orang Melayu. Kalau orang tidak tahu dia adalah Jawatankuasa PAS Pusat, jika dia datang ke kawasan mengundi, nescaya orang kata dia pengundi hantu dari Bangladesh.
Noh Omar terselamat. Selepas UMNO dan BN kalah teruk di Selangor Noh tak berapa bercakap lagi. Saya dengar satu keterangan saja daripadanya kepada media. Dia menyebal kerana Cina dikatakan tidak mengundi BN.
10 hari selepas UMNO kalah, UMNO Selangor ditimpa tangga pula. Noh tak termasuk dalam senarai kabinet baru. Sudahlah UMNO Selangor tidak banyak menang baik Parlimen mahupun DUN, orang kuatnya boleh tak terpillih jadi menteri.
Noh adalah orang UMNO paling kanan di Selangor selepas Najib. Orang kuat UMNO boleh Najib ketepikan. Hanya Najib yang tahu mengapa Noh dibuang. Najib hanya pilih seorang wanta UMNO yang belum terkenal untuk jadi timbalan menteri.
Adakah UMNO Selangor sudah begitu teruk? Ketua UMNO negeri pun terpaksa orang luar Selangor pegang iaitu Najib sendiri. Tak ada orang UMNO yang hendak diketengahkan. Empat tahun Najib jadi ketua UMNO Selagor dia gagal membentuk pemimpin UMNO bagi penggantinya.
Bukan saja Najib gagal mencari orang tempatan menjadi pemimpin UMNO negeri, malah UMNO Seangor hancur di bawah pimpinannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan