"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan panik, PAS tidak akan berpecah

ZULKIFLI YAHAYA
PENGARAH Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki meramalkan akan berlaku perpecahan selepas muktamar tahunan 2015 yang dijangka berlangsung 1 Jun ini.

Beliau mendakwa, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) sedang berusaha menguasai PAS dengan cuba menyusun barisan kepimpinan dan direalisasikan melalui muktamar tahun ini.

“Jika mereka tidak berjaya, saya jangka Pasma akan jadi sebuah parti dan bakal menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat,” ujar Dr Zuhdi. Walaupun beliau seorang tokoh akademik tapi dalam isu “perpecahan PAS” ini kenyataannya bukanlah satu kajian akademik.
Mungkin kenyataan politik, untuk melahirkan rasa waspada dalam kalangan ahli-ahli supaya berbeza jangan sampai berpecah. Dalam politik, banyak kaedah boleh digunakan untuk menyedarkan ahli-ahli.

Tidak munasabah untuk Pasma jadi pemangkin perpecahan PAS, kerana NGO itu tidaklah sekuat mana pun. Ahlinya di seluruh negara mungkin tidak sampai 100 orang. Tiada kepimpinan peringkat pusat bahkan kepimpinan negeri yang sertai Pasma. Sebahagian dari kepimpinan yang ada dianggap sebagai ahli PAS yang “bermasalah.”

Dalam road show yang diadakan di seluruh negara, tiada sambutan dari ahli-ahli PAS sendiri. Justeru, dakwaan bahawa Pasma sedang berusaha menguasai PAS dengan cuba menyusun barisan kepimpinan dan direalisasikan melalui muktamar tahun ini, adalah tidak masuk akal.

Pasma menjadi gah dan seolaholah satu ancaman kepada PAS kerana publisiti berlebihan yang diberikan terhadapnya. Tanpa publisiti Pasma akan pupus begitu saja.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali sendiri lantas menafikan kenyataan Dr Zuhdi tersebut.

“Setakat yang ada ni saya tahu tak ada yang sanggup nak cabar kedudukan presiden, masing-masing masih berharap Tuan Guru kita masih kekal menyangdang jawatan itu,” kata Dato’ Mustafa. Kenyataan beliau tepat sekali.

Tokoh PAS yang berada dalam Dewan Harian PAS Pusat sejak 40 tahun itu sangat bijak menangani kemelut dalaman. Beliau turut menyangkal dakwaan Dr Zuhdi bahawa usaha menjatuhkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermula sejak 1998 lagi. “Tak betul fakta Zuhdi, 1998 Presiden PAS masih Ustaz Fadzil Noor,” ujar Dato’ Mustafa.

Apa yang terjadi dalam isu “menjatuhkan Presiden PAS” sebenarnya hanyalah cetusan rasa panik yang tidak menentu sekalangan anggota PAS. Mereka khuatir Tuan Guru jatuh dan jati diri PAS sebagai sebuah gerakan Islam akan hilang. Kekhuatiran yang tulus ikhlas itu adalah hasil kecintaan mendalam terhadap perjuangan Islam.

Realiti yang berlaku adalah Tuan Guru Presiden masih mantap pada kedudukannya. Dakwaan ada gerakan untuk menjatuhkannya boleh dipertikai. Kerana untuk menjatuhkan pemimpin nombor satu parti itu, ia perlukan calon pesaing untuk merebut jawatan dalam muktamar. Ia mesti dibuat secara terbuka sebelum mesyuarat agung tahunan PAS kawasan bermula. Kawasan yang akan mencalonkan presiden.

Tengku Razaleigh Hamzah ketika mahu mencabar Dr Mahathir Mohamad selaku presiden Umno mengambil masa agak lama untuk menggerakkan usaha merebut jawatan tersebut, sekalipun Dr Mahathir lemah dan banyak musuh ketika itu. Inikan pula mahu menyaingi Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang masih kuat. Muktamar PAS Pusat akan diadakan kira-kira tiga bulan sahaja lagi. Jika hingga ke peringkat ini, langsung tiada desas desus presiden akan dicabar maka usahlah cemas melampaulampau bahawa presiden akan digulingkan.

Mungkin terdapat segelintir anggota yang mengkritik presiden, maka tindakan itu belum boleh dijadikan bukti bahawa presiden hendak digulingkan.

Ketakutan yang melampau jika tidak diuruskan dengan betul boleh membawa kesan negatif terhadap PAS. Antara kesan ketakutan melampau, ialah membuat kenyataan terbuka kononnya terdapat individu yang berkomplot guling presiden, mendedahkan isi memorandum dalaman kepada media dan berdemonstrasi secara terbuka untuk menyerang pemimpin tertentu dalam parti. Tidak perlulah sampai ke tahap itu kerana imej PAS akan rosak. Sedangkan imej tersebut yang hendak digunakan sama ada dalam kerja dakwah atau pilihan raya.

Yakinlah dengan kenyataan Dato’ Mustafa Ali bahawa, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan kekal sebagai presiden tidak ada mana-mana individu mahu menyainginya. Saya mengandaikan jika ada individu yang mencabar presiden dalam muktamar kali ini, mungkin akan senasib dengan Zul Hazmi Sharif yang mendapat tujuh undi dalam pemilihan ketua Pemuda PAS pada muktamar dua tahun lalu.

Apa yang digambarkan sebagai konflik dalaman PAS itu sebenarnya tidaklah terlalu besar sehingga PAS berpecah. Ramalan bahawa PAS akan berpecah itu pun boleh bawa impak negatif terhadap PAS. Melabel dan membuat cabaran terbuka sesama anggota jemaah, khususnya pada tahap kepimpinan juga boleh bawa kesan buruk. Di media sosial perdebatan tiada kesudahan perihal perbezaan dalaman sehingga ke peringkat menyerang sesama sendiri, memaki hamun dan mencarut juga buruk padahnya.

Matlamat ahli-ahli PAS ialah mahu mendapatkan keredaan Allah. Tiada guna menang pilihan raya tetapi Allah tidak reda kerana menolak pelaksanaan Islam. Waktu kalah pun begitu.

Allah tidak reda jika asyik bertelagah, menolak musyawarah atau tolak teguran secara hikmah sesama anggota jemaah, menggelar buruk, memaki hamun atau hilang ukhuwah. Biar kalah atau menang; biarkan kita berakhlak dan berprinsip dengan yang Allah redai.

Semua anggota jemaah dari pemimpin aras atas hingga akar umbi, masing-masing ada kelemahan atau kesilapan. Tugas pemimpin yang sedar untuk melakukan tarbiyah semula membetulkannya.

Jangan ada idea penyingkiran, asal silap mesti diusir keluar parti.

Semoga pascamuktamar PAS Jun nanti, PAS tidak berpecah malah akan lebih mantap sambil memperbaiki kelemahan masing-masing. Biarlah ulama dan profesional yang layak untuk memimpin jemaah berada pada kedudukan masing-masing.

Tiada ulasan: