"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gara gambar lucah remaja dibelasah lebih 20 lelaki sehingga pengsan

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda dibelasah lebih 20 lelaki sehingga pengsan selepas dituduh menghantar gambar lucah kepada rakan perempuan salah seorang suspek melalui aplikasi wechat, dalam kejadian di Arena Square, Dungun, Jumaat lalu

Pada kejadian lebih kurang jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 23 tahun terpaksa menanggung kesakitan di muka, tangan dan kepala akibat disepak serta ditumbuk sekumpulan lelaki berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum insiden itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh dikatakan berada di sebuah kedai makan di Pantai Teluk Lipat, Dungun, sebelum didatangi dua lelaki dengan salah seorang daripadanya dikenali.

Katanya, suspek yang dikenali mangsa mengarahkannya menaiki motosikal bersamanya sementara motosikal milik mangsa ditunggangi rakan suspek.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek bertindak mencekik lehernya sambil menuduh mangsa ada menghantar gambar lucah melalui aplikasi wechat kepada rakan perempuannya.

"Bukan itu sahaja, suspek turut menumbuk muka mangsa dan dia yang tidak menyangka serangan mengejut itu tidak sempat mempertahankan diri.

"Belum pun hilang kesakitan akibat dibelasah suspek, seramai lebih kurang 20 lagi lelaki yang juga rakan suspek tiba sebelum mangsa sekali lagi dibelasah," katanya.

Wan Abd Aziz berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa memaklumkan suspek bertindak kejam dengan memegang kedua belah tangannya dan duduk di atas pahanya sementara rakan suspek yang lain memukul bahagian kepala, muka dan tangan mangsa.

Jelasnya, serangan bertubi-tubi itu menyebabkan mangsa pengsan dan hanya tersedar apabila mukanya disimbah air oleh salah seorang suspek.

"Selepas puas membelasah mangsa, kumpulan berkenaan beredar meninggalkan mangsa yang berada dalam kesakitan.

"Sebaik sahaja kumpulan suspek beredar, mangsa segera menghubungi adiknya dan membuat laporan polis lebih kurang jam 5.30 pagi, hari yang sama," katanya.

Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan ahli kumpulan berkenaan dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. 
-sinarharian-

Tiada ulasan: