"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengkhianatan dalam Umno: Najib lebih baik berjaga-jaga

Ahmad Mustapha Hassan
Sejarah telah menunjukkan kejatuhan banyak kerajaan Melayu adalah disebabkan konflik dan pengkhianatan.Pengikut dengan mudah mengalihkan kesetiaan mereka dan mengkhianati pemimpin mereka atas apa sahaja sebab.
Melaka jatuh ke tangan Portugis kerana pihak yang dekat dengan raja berpakat dengan Portugis dan mengkhianatinya.

Ketika itu tiada kesatuan di kalangan bangsawan yang memerintah Melaka. Mereka yang inginkan kuasa tidak ragu untuk bersubahat dengan musuh. Justeru mudah untuk Portugis menjajah negeri itu.
Legenda Hang Tuah adalah satu lagi contoh klasik.

Hang Tuah perlu membunuh sahabatnya ekoran konspirasi dalam istana. Dia tidak memberitahu sahabatnya tentang hal itu, yang menyebabkan sahabatnya membalas dendam bagi pihaknya atas apa yang dirasakan sebagai kezaliman yang menimpa Hang Tuah.

Rupa-rupanya itu adalah muslihat diraja dan Hang Tuah akhirnya diperintah membunuh sahabatnya. Hang Tuah telah mengkhianati kepercayaan sahabatnya.

Ketika itu pengkhianatan adalah perkara biasa. Sama juga keadaannya dengan pahlawan Melayu yang cuba melawan penjajahan British.

Penentangan Melayu terhadap kuasa penjajah British gagal kerana pengkhianatan satu kumpulan yang pada asalnya bersama-sama menentang, namun mengubah pendirian untuk menyokong British.

Masyarakat Melayu ketika itu secara umumnya terbahagi kepada golongan diraja, bangsawan dan petani.

Pemberontakan terhadap British di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Terangganu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-21 gagal akibat kurangnya kesatuan dan juga pengkhianatan.

Dalam semua pemberontakan ini, golongan diraja pada awalnya menyokong dan menggalakkan pejuang mementang British, namun akhirnya mengkhianati dan mengabaikan mereka demi mencapai kompromi dengan British.

Malah sejarah Umno juga tidak sunyi daripada pengkhianatan.

Tunku Abdul Rahman, presiden kepada Umno yang asli ditimpa nasib yang sama. Beliau digantikan melalui konspirasi yang dijalankan dengan pengkhianatan.

Ketika pemilihan parti pada 1987, konflik terbuka berlaku ketika Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi kedudukan presiden.

Dilaporkan bahawa Tunku Razaleigh akan menang jika beliau tidak dikhianati penyokongnya sendiri yang mengubah kesetiaan dan berpihak kepada seterunya.
Pakatan Rakyat kini berhadapan takdir yang sama.

PAS mengkhianati ikrar yang dicapai tiga parti komponen dan telah menjejaskan peluang untuk mentadbir negara pada masa hadapan.

Justeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu sedar yang sokongan terbuka yang dinyatakan kepadanya barangkali bukanlah sesuatu yang benar.

Peribahasa Melayu ada mengatakan, “sokong yang membawa rebah”, yang bermakna penyokong sendirilah yang akan membawa kejatuhan seseorang.

Seperti yang dilaporkan media, timbalannya Muhyiddin Yassin tidak bersamanya.

Muhyiddin tidak berhadapan dengan Najib secara terbuka, sebaliknya memberitahu perasaannya berhubung 1MDB dalam satu perhimpunan ‘hulubalang’ Umno Baru.

Beliau boleh sahaja berjumpa dengan Najib dan menyatakan cara yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah 1MDB. Tetapi Muhyiddin memilih untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dalam perkumpulan Umno Baru di Janda Baik.

Itu yang terdedah ke pengetahuan ramai. Mungkin ada lagi peristiwa lain yang tidak didedahkan.

Orang Melayu lazimnya menunjukkan sokongan di hadapan, tetapi melakukan sebaliknya di belakang.

Najib tidak boleh duduk selesa dengan hanya bergantung kepada perlembagaan Umno Baru. Perlembagaan hanyalah sebagai pelindung, tetapi bukan jaminan yang beliau tidak akan disingkir.

Najib perlu melihat semua sokongan yang ditunjukkan dengan sikap “harap,harap, percaya tidak”.
-detikdaily-

Tiada ulasan: