Raja Petra Kamarudin
Presiden PAS Tok Guru Abdul Hadi Awang mengkhianati Pakatan Rakyat, kata pengkritik-pengkritik beliau. Itulah sebab mengapa Pakatan Rakyat telah mati dan sekarang tidak lagi wujud.
Setiap orang adalah pakar perkara yang telah lepas. Sedangkan yang lebih penting adalah sama ada anda mempunyai pengetahuan tentang apa yang akan berlaku. Lima tahun lepas dalam 2010 saya telah bertikam lidah dengan Anwar Ibrahim berkaitan pelbagai isu yang saya sebut jika tidak diputuskan, akhirnya akan menyebabkan perpecahan Pakatan Rakyat.
Namun, Anwar enggan mendengar. Jadi, saya putuskan untuk menubuhkan Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) dan berjaya memujuk Haris Ibrahim atau Sam yang agak berat mahu mengetuai gerakan tersebut.
Apa kaitan MCLM dengan rungutan saya berkenaan pakatan pembangkang? Sebenarnya, gerakan ini sepatutnya mempromosi liberalisma dan kebebasan awam. (Kerana itulah saya mahu memanggilnya gerakan dan bukan persatuan – saya telah jelaskan semasa kami melancarkan MCLM). Maksudnya, MCLM akan menentang politik bangsa dan agama serta menyokong sekularisma berbanding teokrasi.
Dan dengan menentang politik bangsa dan agama bermaksud secara automatik menentang prinsip politik kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dan ini sekaligus meletakkan kami sebagai kuasa ketiga.
Selepas itu, Pakatan Rakyat mula memberitahu rakyat yang MCLM mahu mencetus pertandingan tiga-penjuru dalam pilihanraya. Kuasa ketiga diterjemahkan kepada pertandingan tiga-penjuru. Jadi MCLM akan mencuri undi daripada pembangkang atau akan menyebabkan perpecahan dalam pembangkang dan itu akan membantu Barisan Nasional.
Dengan kata lain, MCLM akan membantu Barisan Nasional dengan memastikan Pakatan Rakyat tidak memenangi pilihanraya.
Sam kemudiannya menemui DAP dan mereka memberitahu beliau yang mereka tidak dapat berkerjasama dengan MCLM kecuali dengan persetujuan Anwar. Saya juga bercakap dengan PAS dan mereka juga memaklumkan perkara yang sama – dapatkan dahulu kebenaran Anwar, jika tidak mereka tidak dapat berkerjasama dengan kami.
Anwar, walau bagaimanapun, mengumumkan bahawa Umno telah membeli kami dan kami sekarang adalah pengkhianat.
Saya berang. Itu semua adalah satu pembohongan. Dan dalam 2010 saya membalas balik dan menyerang Anwar semahu-mahunya. Dan itu lebih kurang telah memutuskan hubungan saya dengan Anwar dan secara umumnya dengan Pakatan Rakyat juga.
Apabila kami bertemu di London, saya telah mengingatkan Anwar yang Pakatan Rakyat tidak akan bertahan lama dengan asas bersetuju untuk tidak bersetuju. Akhirnya, mereka perlu kembali kepada satu persetujuan, terutamanya berkaitan dengan Hudud. Bersetuju untuk tidak bersetuju adalah sesuatu yang palsu. Ia mungkin berfungsi untuk pakatan pilihanraya tetapi tidak untuk satu kerajaan gabungan.
Tetapi ramai beranggapan saya remeh-temeh atau nakal. Mengapa saya timbulkan sesuatu yang tidak penting? Ia mungkin bukan isu sekarang (pada 2010) tapi akhirnya ia akan menjadi satu isu. Dan lebih baik Pakatan Rakyat menyelesaikannya sebelum ia menjadi satu isu daripada ia menjadi satu masalah yang lebih buruk selepas meletup.
Namun, apa sahaja saya katakan nampaknya tidak dihiraukan. Tiada apa yang salah dalam Pakatan Rakyat. Tiada bom jangka menunggu untuk meletup. Setiap sesuatu nampaknya lancar dan cantik. Oh, adakah begitu? Tunggu sahaja bila ia meletup, kata saya.
Satu lagi isu adalah Selangor. Bila saya timbulkan isu Selangor, Anwar merungut tentang Menteri Besar Khalid Ibrahim. Dia degil, tidak dengar nasihat, dan mempunyai ego yang besar, kata Anwar.
“Jadinya, mengapa tidak buang sahaja dia dan gantikan dengan Azmin Ali?” kata saya. (Saya malah menulis mengenainya dalam 2010). Anwar tidak memberi jawapan dalam 2010 bila saya tanya beliau mengenainya. Kemudian, dalam 2013, beliau melantik Khalid sebagai Menteri Besar untuk satu penggal lagi daripada menggantikannya dengan Azmin.
Kemudian, tiga bulan selepas itu, beliau memulakan komplot Gerakan Kajang untuk menendang Khalid keluar dan apabila beliau tidak dapat menumbangkan Khalid, beliau cuba menjadikan isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilantik – namun gagal juga.
Jadi, apakah maksud artikel saya setakat ini – adalah ‘sudah saya katakan pada kamu’?
Masalah dengan rancangan ini, ialah DYMM Sultan Selangor tidak bersetuju Dr Wan Azizah mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar baharu. Dan jika mereka bertegas mahu meneruskan perancangan ini, akan ada bahaya yang Dewan Undangan Negeri Selangor mungkin terpaksa dibubarkan untuk satu pilihanraya negeri baharu.
Namun, DAP dan PKR masih mahu melawan Sultan. Mereka merasakan mereka mampu menggerakkan rakyat dan menganjurkan demonstrasi seluruh Selangor untuk menekan Sultan agar mengalah. Ini jelas menunjukkan mereka tidak mengenali sepupu saya, Sultan itu. Jika mereka meneruskannya, Sultan akan musnahkan mereka sepenuhnya. Cubalah berlawan dengan Sultan dan tengok apa yang boleh berlaku.
Hadi tahu bahawa konfrontasi terbuka dengan Sultan akan berakhir dengan buruk bagi Pakatan Rakyat. Sultan bertegas mahukan lebih dari satu nama untuk cadangan calon Menteri Besar. Jadi, Hadi mencadangkan dua nama – Dr Wan Azizah dan Azmin.
Hadi telah menyelamatkan Selangor daripada bala. Beliau memberikan Sultan satu pilihan dan bukannya mengugut Sultan seperti yang mahu dibuat oleh DAP dan PKR. Sultan telah memilih Azmin dan itu telah memusnahkan plot DAP dan PKR untuk meletakkan isteri Anwar di kerusi Menteri Besar.
Dan itulah permulaan mereka mensasarkan Abdul Hadi Awang. DAP dan PKR pada mulanya menghentam Sultan dengan menuduh baginda tidak menghormati perlembagaan dan campurtangan dalam politik. Kemudian mereka menghentam Hadi kerana memberikan Sultan satu pilihan untuk memilih dan bukannya menutup ruang pilihan untuk Sultan serta memaksa baginda melantik Dr Wan Azizah.
Gerakan Kajang dan pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar adalah rekahan pertama dalam Pakatan Rakyat. Dan mereka menyalahkan Hadi untuknya. Tetapi bukan Hadi yang merancang Gerakan Kajang. Gerakan Kajang itu secara rahsia dirancang PKR tanpa sebarang rundingan dengan dua lagi rakan kongsi gabungan.
Apa yang Hadi lakukan adalah beliau telah mencegah Gerakan Kajang daripada bertukar menjadi bala sebagaimana yang telah berlaku lebih awal di Perak yang menyebabkan Pakatan Rakyat tewas di negeri terbabit. Hadi tahu apa yang Sultan boleh buat dan boleh bersetuju lakukan dan beliau dengan bijak tidak berenang melawan arus atau tidak, akan menyebabkan Pakatan Rakyat terjerumus dalam bahaya besar.
Namun, tindakan Hadi memenuhi kehendak Sultan dari sebaliknya membantah baginda tidak diterima dengan baik oleh DAP dan PKR. Mereka mahu mencabar Sultan dan memaksa baginda untuk bersetuju dengan kemahuan Pakatan Rakyat. Tapi Hadi telah memberi penyelesaian kepada Sultan yang telah mengelakkan satu konfrontasi dengan Istana.
Hadi berasal dari Terengganu, satu negeri dimana Sultan boleh mengarahkan polis mengiringi anda keluar dari negeri itu dan menahan anda jika and cuba masuk kembali ke negeri tersebut (yang mana pernah berlaku sebelumnya di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor). Anwar dan Lim Guang Eng, pula, berasal dari Pulau Pinang yang tidak mempunyai Sultan, jadi mereka tiada perasaan kasih dan hormat pada sultan-sultan.
Dan itulah sebab kenapa Hadi melihat isu ini berbeza daripada Anwar dan Guan Eng yang sanggup mengkhianati Sultan.
Malahan, itulah permulaan pergeseran antara Hadi dan DAP/PKR. Kemudiannya, Kelantan memutuskan untuk meneruskan agenda Hudud. Namun, daripada menyalahkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat atau PAS Kelantan untuk tindakan tersebut, mereka menyalahkan Hadi. Jadi mereka memuji Nik Aziz dan memanggil beliau tokoh yang hebat dan mereka mengutuk Hadi di atas apa yang Kelantan telah lakukan.
Tidakkah ia sesuatu yang janggal? Kenapa Hadi dipersalahkan atas apa yang Kelantan lakukan? Dan kenapa memuji PAS Kelantan dan pimpinan PAS Kelantan tapi pada masa yang sama mengutuk Hadi? Bahkan sekarang DAP mahu membelanjakan wang Pulau Pinang untuk membantu Kelantan membina lebih banyak masjid di negeri tersebut. Dan penyokong-penyokong Cina DAP bertepuk tangan serta bersorak memanggil ianya tindakan yang hebat. Tapi bukankah ini Kelantan yang mahukan Hudud?
Kemudian, dalam Disember 2013, Anwar mengaturkan satu pertemuan antara Umno, PAS dan PKR di London untuk berbincang urusan membentuk satu kerajaan perpaduan. DAP dan parti-parti bukan Umno lain dalam Barisan Nasional telah tidak dijemput ke dalam perbincangan ini.
Anwar kemudiannya telah meminta Hadi menghadiri pertemuan tersebut dan walaupun Hadi kebetulannya berada di London ketika itu, beliau enggan menghadirinya. Jadi, perbincangan itu gagal dan kerajaan perpaduan tidak menjadi kenyataan.
Selepas itu Lim Kit Siang menuduh Hadi bermesra dengan Umno. Dia menuduh Hadi sebagai pengkhianat dan pembelot. Pada masa yang sama, Kit Siang mencadangkan Pakatan Rakyat menimbangkan satu pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ dengan Barisan Nasional.
Dan itulah dia, wahai pembaca, bagaimana Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, telah mengkhianati Pakatan Rakyat. Dan sekarang, disebabkan oleh pengkhianatan Hadi, Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.
Menteri Besar Selangor, Azmin Ali akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan baginda bahawa Selangor tidak lagi diketuai oleh kerajaan Pakatan Rakyat tapi diketuai oleh kerajaan Azmin Ali. Azmin mempunyai sekurang-kurangnya 28 ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) bersama beliau dan disebabkan belum ada lagi undi tidak percaya dicadangkan di dalam Dewan Undangan Negeri, maknanya Azmin masih berkuasa.
Dan DYMM Sultan akan menitahkan jika sekurang-kurangnya 29 ADUN belum mencadangkan undi tidak percaya terhadap Azmin, maka beliau boleh terus menjadi Menteri Besar sehingga pilihanraya umum akan datang.
Dan semua ini adalah kerana pengkhianatan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang – jahanam dia!
2 ulasan:
Sikit pun saya tak nampak tokguru hadi khianat dalam isu ni. Yang jelas dalam karangan encik ni ialah kejahilan, kebiadapan dan kemungkaran anwar-guan-siang
Raja Petra, hamba nak tanya:
1- Siapakah Presiden PAS, dimana partinya isytihar tidak bekerjasama dgn DAP sedangkan DAP masih dalam PR? Jawapannya ?
2- Siapakah yg menghianati perjuangan PR dalam Langkah Kajang? Jawapannya..
3- Pemimpin Parti PR manakah yg mendapat "sumbangan media nasional" dalam berkembepn sewaktu muktamar?
4- Pemimpin manakah yg ada bayangan tangan2 Hassan Ali dan Nasarudin Mat Isa di belakang jubah?
5- Pemimpin manakah yang sanggup melontar ucapan-ucapan yg tidak bermaruah kepada ahli yg erat dengan gabungan seperti JEBON, BARUA etc
6- Pemimpin manakah yg sanggup menjadikan warisan Nik Aziz (iaitu Nik Abduh) seperti pelawak sarkas?
7- Ahli parti manakah yg membakar bendera dan markaz di Bachok?
8- Kipas/payung berlogo parti mana yg dipulangkan oleh penyokong baru-baru ini?
9- Apabila HUDUD mmempunyai "tempoh kecederaan" untuk dibincangkan di Parlimen, kenapa Tuang Presideng "lari" ke Jepun?
10-Pemimpin manakah yg "menghalau seperti anjing" mana-mana ahli yg tak "sekepala" dengannya? Adakah PAS hak milik Hadi Awang?
Raja PEtra,
Anda boleh menulis atau mereka cerita, ikut pandangan anda. Tapi pandangan kami (ahli-ahli PAS yg lebih 25 tahun) mempunyai pemahaman kami sendiri dan hampir separuh dari kami berfikir "di luar kotak".
Sekian,
Dr Abd Rahman
Catat Ulasan