KUALA LUMPUR: Ekoran daripada pengguguran beliau dari Kabinet semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjadi topik perbualan bagi setiap rakyat Malaysia yang mengikuti hal ehwal semasa.
Muhyiddin telah diminta mengulas tentang beberapa isu mendesak dalam sidang media khas di kediamannya di Bukit Damansara awal hari ini.
Antara soalan utama yang ditanyakan adalah sama ada beliau menyesal memberi kenyataan terbuka mengenai siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dipercayai menjadi punca penggugurannya dari jawatan Kabinet.
Muhyiddin juga ditanya sama ada beliau yakin isu 1MDB boleh diselesaikan, berapa banyak yang diketahui tentang skandal itu, dan jika penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara dan pelantikan beberapa ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai usaha untuk mengganggu siasatan.
Ketika sidang media mula meraih momentum, Muhyiddin telah ditanya mengenai cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan berita pengguguran jawatan kepada beliau.
Muhyiddin juga ditanya sama ada khabar pengguguran itu telah berlaku sebelum beliau muncul membuat ucapan penggulungan mesyuarat UMNO Cheras pada malam Ahad lalu.
Menjawab pertanyaan tersebut, Muhyiddin bercerita tentang bagaimana Najib kelihatan agak sukar untuk memberitahu bahawa nama Muhyiddin tidak termasuk dalam senarai baharu Kabinet. Najib juga dikatakan memberitahu kepadanya dengan kata-kata yang terbatas.
Berkenaan UMNO, para wartawan sangat berminat untuk mngetahui sama ada Muhyiddin akan kekal berada dalam parti.
Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, kedudukannya dalam parti sebagai Timbalas Presiden UMNO kekal, maka tugas dan tanggungjawabnya dalam membantu Presiden memacu parti ke peringkat lebih tinggi masih sama. Muhyiddin juga memberitahu bahawa beliau tidak punya alasan untuk percaya kedudukannya dalam parti terancam.
Beralih topik berkenaan para penyokongnya, Muhyiddin berkata beliau memahami sekiranya mereka berasa marah atau kecewa. Namun beliau yakin semua orang akan melihat bahawa hatinya hanya meletakkan kepentingan terhadap UMNO dan negara.
Apabila Muhyiddin kini dilihat sebagai salah seorang pengkritik Najib, bekas tokoh nombor dua negara itu ditanya sama ada beliau kini berdiri di platform sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad – yang tidak dapat dinafi menjadi pengkritik tegar pentadbiran Najib.
Memberi reaksi tentang hal itu, Muhyiddin berkata isu sama ada benar atau tidak beliau kini dalam ‘kem’ Dr Mahathir, tidak relevan. Perkara yang lebih penting adalah setiap kritikan itu perlu dipertimbang secara berasingan dan bertepatan.
-Astro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan