"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gabenor Bank Negara, Pegawainya Dan Pasukan Khas Pula Jadi Sasaran

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
1. Sehari selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan Peguam Negara, telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sasaran seterusnya untuk dimangsakan dan dianiaya ialah mereka yang dikatakan terlibat di dalam Pasukan Petugas Khas menyiasat Skandal 1MDB dan kes penyaluran wang RM2.67 bilion ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik Perdana Menteri. Teratas di dalam senarai sasaran tersebut ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Shukri Abdul dan beberapa orang lagi Pegawai-Pegawai Kanan Bank Negara dan SPRM.

2. Saya juga mendapat maklumat, pelantikan Ketua Cawangan Khas (SB) PDRM yang baru yang diumumkan kelmarin adalah juga berkaitan dengan perkembangan terbaru ini. Kesemua Pegawai Bank Negara dan SPRM yang dijadikan sasaran ini dipercayai terlibat secara langsung di dalam proses penyiasatan Pasukan Petugas Khas tersebut.

Dipercayai dapatan hasil penyiasatan yang dijalankan mereka tersebut amat menakutkan pihak-pihak tertentu hingga menyebabkan berlaku pemecatan ke atas Peguam Negara dan sekarang ini giliran Pegawai-Pegawai Bank Negara dan SPRM pula untuk diganggu, dipaksa, diugut dan ditakut-takutkan terutamanya dengan pendakwaan jenayah seperti di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

3. Tidak semena-mena, dalam tempoh 24 jam ini muncul beberapa blog misteri yang menamakan Pegawai-Pegawai ini sebagai konspirator menjatuhkan Perdana Meteri dan Kerajaan yang dipilih secara demokratik di mana saya percaya ini adalah sebahagian daripada taktik licik untuk mengolah persepsi umum bahawa Pasukan Petugas Khas ini mempunyai niat yang buruk untuk memfitnah dan menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan menggunakan isu 1MDB dan juga penyaluran wang RM2.6 bilion tersebut. Ianya juga jelas bertujuan untuk menakut-nakutkan Pegawai-Pegawai tersebut daripada menjalankan siasatan secara telus, adil dan objektif.

4. Dalam hal ini, saya memberi amaran kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, PDRM dan Peguam Negara yang baru supaya mengambil tanggungjawab segera untuk menghentikan serta merta segala bentuk serangan, gangguan dan ugutan yang dilakukan pihak-pihak tertentu ke atas mana-mana pihak terutamanya Pegawai-Pegawai Kerajaan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat di dalam penyiasatan kes-kes berkaitan skandal 1MDB.

"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

29 July 2015/ 13 Syawal 1436H

Tiada ulasan: