FMT Reporters
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan telah tahu lebih awal Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, Anwar telah memberitahunya “sesuatu yang besar akan berlaku dalam masa terdekat ini”.
Menteri Besar Selangor itu berkata, Anwar memaklumkan perkara itu kepadanya ketika melawat Ketua Umum PKR di Penjara Sungai Buloh pada 24 Julai lalu.
Media rasmi kerajaan Selangor, Selangor Kini melaporkan, Azmin dan Naib Presiden PKR, Tian Chua, juga telah mengulangi ‘sesuatu perkara besar akan berlaku dalam masa terdekat’ ketika berucap dalam program Jelajah Amanat Presiden di Kuala Selangor pada 24 Julai lalu.
Tian Chua mengaku perkara besar yang dimaksudkan olehnya dan Azmin dalam program itu melibatkan pemecatan Muhyiddin.
“Ya, memang ini yang kami maksudkan masa itu (Jelajah Amanat Presiden). perpecahan dalam UMNO akan menyebabkan sama ada Muhyiddin dilucutkan atau Najib sendiri disingkir.
“Kita dah pantau keadaan ini agak lama dan dalam isu 1MDB terdapat suara berbeza dikeluarkan pemimpin UMNO.
“Kita juga lihat tingkah laku Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ‘mengambil’ orang tertentu ketika siasatan yang menyulitkan lagi situasi Najib,” kata Tian Chua yang dipetik Selangor Kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan