Mohd Tawfik Yaakub
Secara rasminya semalam nama Tan Sri Muhyiddin Yassin tersenarai bersama-sama dengan Tun Ghafar Baba, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh nombor dua dalam Umno yang kecundang sebelum berjaya menjawat jawatan perdana menteri.
Penyingkiran Muhyiddin daripada jawatan nombor dua dalam kerajaan bukanlah perkara yang mengejutkan, namun penyingkiran tersebut berlaku ketika negara dilanda pelbagai kemelut ekonomi dan politik sehingga mendapat perhatian meluas seluruh rakyat Malaysia.
Penyingkiran Ghafar dan Musa sebelum ini tidak membangkitkan kemarahan rakyat dan ahli Umno kerana pengaruh kedua-dua tokoh Umno ini kecil berbanding pengaruh Anwar.
Namun sehingga saat ini, pengaruh Muhyiddin masih sukar dinilai sama ada menyamai kekuatan Anwar ataupun lebih lemah berbanding Ghafar dan Musa. Kesukaran menilai pengaruh Muhyiddin sehingga hari ini berlaku kerana beliau masih tidak menjelaskan hala tuju politiknya sama ada kekal bersama Umno ataupun menentang bekas ketuanya.
Berkemungkinan Muhyiddin dan sebahagian rakyat Malaysia terkeliru dengan penjenamaan rombakan kabinet sama ada "dipecat", "disingkir", ataupun "direhatkan" sehingga menjadikan mereka terpinga-terpinga untuk merancang tindakan politik seterusnya.
Malah [ada sidang media yang diadakan Muhyiddin hari ini, beliau dilihat masih berada di persimpangan untuk memutuskan sama ada memperjuangkan nasibnya ataupun berehat sepenuhnya seperti Ghafar dan Musa.
Berdasarkan kepada perkembangan politik semasa, nasib sebenar Muhyiddin dalam politik akan ditentukan pada 31 Julai, 2015 dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan diyakini akan timbul cadangan oleh salah seorang ahli Majlis Tertinggi untuk memecat beliau sebagai timbalan presiden.
Secara tradisinya penyandang jawatan timbalan perdana menteri merupakan timbalan presiden Umno, maka timbul persoalan sama ada Najib, Zahid dan pemimpin kanan Umno lain akan mengekalkan Muhyiddin untuk memegang jawatan berkenaan?
Sudah pasti jawapannya tidak, kerana Ghafar, Musa dan Anwar sebelum ini juga terpaksa mengosongkan pejabat timbalan presiden Umno setelah tidak lagi memegang posisi itu.
Oleh itu, tarikh 31 Julai, 2015 merupakan tarikh keramat yang berupaya menentukan masa depan politik Muhyiddin sama ada mengikut jejak langkah Anwar ataupun tenggelam dalam lipatan sejarah seperti Musa dan Ghafar.
Yang pasti, nama Muhyiddin kini tersenarai bersama nama Ghafar, Musa dan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri yang kecundang di pertengahan jalan. Satu lagi sejarah duka terpahat dalam pergelutan politik Malaysia.
1 ulasan:
Ini lah parti umno(baru)...ketua penyamun hak rakyat
Catat Ulasan