FMT Reporters
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumukan rombakan Kabinet hari ini, iaitu beberapa hari lebih awal dari perancangan sebelum ini, dakwa blog pro-UMNO, MyKMU.net
Sebelum ini, Najib dijangka mengumumkan rombakan Kabinet selepas mempengerusi mesyuarat Kabinet pada rabu ini. Namun hari ini Najib mempercepatkan rombakan ini setelah melihat tingkah laku Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Cheras pada Ahad lalu.
Blog itu mendakwa, oleh kerana rombakan itu sangat mengejut tiada sebarang kebocoran langsung sehingga jam 2 pagi ini.
“Ada sumber menyatakan Najib telah mengadap Yang Dipertuan Agong petang Isnin. Satu sumber lagi menyatakan Najib akan merafak sembah senarai baru pagi ini,” tulis blog itu.
Dijangkakan beberapa Menteri akan digugurkan iaitu Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Hassan Malek, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri G Palanivel dalam satu rombakan kabinet yang dilihat bagi menguruskan kepentingan politik UMNO dan MIC sekaligus.
Kedudukan Muhyiddin masih lagi dalam keadaan sukar diramalkan.
Kemungkinan besar Muhyiddin akan menjadi Timbalan Perdana Menteri tanpa potfolio Kementerian lain.
Bagaimanapun, blog itu melaporkan jangan menolak kemungkinan Muhyiddin digugurkan sepenuhnya dan diganti oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Beberapa Menteri pula dijangka bertukar potfolio dengan fokus tertumpu kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Kedudukan Khairy menjadi tumpuan kerana selain gagal memberi nafas menarik sokongan belia kepada parti pemerintah, Pemuda UMNO juga dilihat tidak membantu menyatukan parti.
Malah kegagalan Pemuda menunjukkan sokongan padu kepada Perdana Menteri merupakan satu alasan kuat untuk perubahan ini, kata blog itu.
Namun peluang untuk Khairy digugurkan dari Kabinet agak tipis berdasarkan kedudukan beliau dan pengaruh Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Khairy dijangka berpindah daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Kementerian Sumber Manusia atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang dilihat bintang baru dalam Kabinet Najib dijangka berpindah ke Kementerian Penerangan. Ini selari dengan jawatan baharu beliau sebagai Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional.
Ini memberi peluang kepada Rahman menggembeleng semua jentera penerangan kerajaan dan parti bagi menjelaskan isu semasa.
Menteri Penerangan sedia ada, Datuk Seri Ahmad Shaberry Cheek dijangka kembali ke Kementerian Belia dan Sukan bagi menarik semula sokongan belia kepada Barisan Nasional dan mengawasi persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Sea 2017.
Manakala Datuk Ahmad Maslan dijangka dilantik sebagai Menteri penuh di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Antara nama lain yang dijangka naik pangkat dari Timbalan Menteri kepada Menteri ialah Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Jailani Johari . Beberapa Ahli Parlimen muda dijangka dilantik sebagai Timbalan Menteri ialah Ahli Parlimen Sekinjang, Anuar Manap, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin, dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan