"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulasan XIFU NASER mengenai GHB lawan ketuanan ulama

XIFU NASER“ADAKAH kamu seorang ulama?” Cuba tanya soalan ini kepada sesiapa yang dikenali sebagai ulama. Apakah respons yang kamu jangka daripada seorang ulama sejati berbanding dengan seorang “ulama chai” iaitu ulama yang dipilih berdasarkan ketuanan “siku dan lutut” , bukan kepimpinan akal dan hikmah.
“Kita rayu sungguh-sungguh jangan cabar kesabaran kami,” kata Nasruddin Hassan. “Walaupun kami daripada Dewan Ulama rata-ratanya berkopiah dan berjubah, namun dalam jubah kami masih ada siku dan lutut yang boleh digunakan.”

Kita lihat bagaimana kesabaran “pencuri” dan sekumpulan rakyat di cabar di Low Yat sehingga berakhir dengan siku dan lutut serta takbir “Allahuakbar”. Adakah cara ini umat kita bersaing dalam masyarakat multikultural? Adakah ini ketuanan papagomo-papagomo, atau kepimpinan? Adakah ulama-ulama chai juga melihat diri mereka sebagai “tuan”, dan bukan sebagai “pemimpin”?

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengaitkan perkataan “progresif” GHB dengan pergerakan gay Muslim di Amerika. Tetapi beliau tidak pula merujuk kepada buku-buku Dr Mujahid sebagai justifikasi ilmiah. Adakah ini penyelidikan lutut dan siku atau ilmu dan akal?

Progresif adalah sifat mengislah diri untuk maju ke depan, iaitu bukan bersifat agresif mahupun regresif. Wacana siku dan lutut adalah contoh wacana agresif seolah-olah tiada lagi tempat untuk apa jua dialog. Tenaga akal dan hikmah sudah habis digunakan.

Tinggal ugutan, ancaman dan fitnah untuk mengekalkan ketuanan ulama, bukan kepimpinan. Kepimpinan menyatukan dan mendekatkan, tetapi ketuanan menghambakan seramai yang mungkin.

Kita lihat sifat agresif tuan-tuan Parsi ketika berperang dengan tentera Saidina Umar. Parti Umar ini hanya kelihatan seperti ‘serpihan-serpihan’ Badwi kerana Parti Parsi mempunyai gajah, tetapi Umar tidak.

Untuk mengekalkan ketuanan raja Parsi, komandan-komandan perang tentera Parsi telah mengikat kaki-kaki askar mereka dengan rantai supaya mereka istiqamah berjuang menentang tentera Saidina Umar al-Khattab. Mereka tidak boleh keluar dari “parti” raja Parsi. Keluarga mereka juga diugut bunuh kalau mereka meninggalkan parti raja Parsi seolah-olah mereka sudah diikat oleh baiah potong tiga!

Ketuanan Raja Parsi bukan sekadar bersifat agresif tetapi juga menanam sifat regresif kepada rakyatnya dengan menyemai sifat taksub kepada kuasa. Hanya dengar dan patuh pada kuasa chai iaitu kuasa monarki yang dikatakan mempunyai kuasa rohani yang tidak mampu dicabar oleh akal dan hikmah.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi selaku Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas mengaku wujudnya sumpah baiah talak tiga ke atas calon-calon kepimpinan Pas. Beliau telah menjustifikasikan baiah ini dengan logik regresif: Nabi pernah lakukan terhadap umat Islam, maka Pas pun lakukan kepada calon-calonnya untuk elak lompat parti.

Tetapi adakah relevan menyamakan Nabi dengan sebuah “Parti”? Konsep “Parti Politik” tidak wujud pada zaman khilafah. Konsep “Parti Politik”, parlimen, pilihan raya adalah rekaan Barat berdasarkan falsafah demokrasi liberal. Khilafah tidak pernah mengenal makna “Parti Politik”, apatah lagi baiah kepada Parti.

Ini adalah kerana parti adalah “benda” yang tidak bernyawa. Ia bukan orang. Parti adalah umpama rubber stamp, badut yang dikawal oleh pemimpinnya. Kalau pemimpinnya zalim, zalimlah parti itu walaupun dilabel Islam.

Tetapi pelik kerana idea sebuah parti yang dilabel Islam tersasar keluar dari jalan Islam kelihatan tidak pernah terlintas pada minda chai. Masuk Pas adalah masuk Islam. Keluar Pas adalah keluar Islam.

Maka, walaupun talak adalah dibenci oleh ALLAH SWT, ulama chai boleh memperalatkannya untuk mengekalkan ketuanan mereka, dan bukan sekadar kepimpinan. Anak-anak kecil dikorbankan demi ketuanan ulama. Saya tidak hairan kalau fitnah dan menipu juga diperalatkan nanti! Minda semakin regresif.

Mengapa ketuanan ulama, bukan sekadar kepimpinan? “Dari sudut amalan dan rohani pula, dia (Presiden Pas) telah mencapai tahap tidak melakukan dosa dengan sengaja,” berkata Bendahari Dewan Ulama Pas Mohd Asri Daud.

Adakah pengikut ulama chai sudah sampai peringkat kashaf yang begitu tinggi sehingga mampu melihat rohani dan keikhlasan seseorang? Apa beza ulama dengan pendeta Brahmin?
-sinarharian-

2 ulasan:

Unknown berkata...

Tepat dan jelas..

Unknown berkata...

bukan kasyaf tuan.... memang ada unsur doktrin syiah