"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rombakan Kabinet: Muhyiddin dan 4 menteri terkeluar - sumber

JAHABAR SADIQ
Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) melambai kepada hadirin di Rumah Terbuka CIMB di Hotel Hilton, Kuala Lumpur semalam. 

Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan rombakan Kabinet minggu ini, menggugurkan 5 daripada 35 menteri termasuk timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lantang mengkritik cara perdana menteri menguruskan hutang RM42 bilion syarikat milik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata sumber.

Sumber kerajaan berkata, selain Muhyiddin, 2 lagi menteri Umno termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek akan digugurkan dalam rombakan Kabinet Najib – yang mendapatkan mandat sendiri selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Naib presiden Umno paling popular dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal dilantik menjadi timbalan perdana menteri baharu dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan akan dijadikan menteri penuh.

Zahid akan mengekalkan portfolio menteri dalam negeri, kata sumber itu, dan menambah beberapa menteri kanan akan kekal untuk menyokong Najib – perdana menteri keenam Malaysia.

Dua lagi menteri dijangka digugurkan daripada Kabinet Najib adalah Datuk Seri G Palanivel – yang baru digugurkan sebagai presiden dan ahli MIC, serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala.

Idris yang mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) kini berada dalam penggal keduanya sebagai senator.

“Rombakan Kabinet akan dilakukan minggu ini dan perdana menteri mengubahsuai senarai menteri untuk Yang di-Pertuan Agong pertimbangkan,” kata sumber Putrajaya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur malam tadi.

“Senarai Kabinet akan dipersembahkan kepada Agong pada Rabu,” kata sumber itu, dan menambah perundingan dengan anggota kanan Umno bermula awal minggu ini.

Muhyiddin yang berusia 68 tahun dijangka akan digugurkan selepas memperbaharui kritikannya terhadap 1MDB dalam mesyuarat tahunan Umno Bahagian Cheras pada Ahad.

Hutang RM42 bilion 1MDB dikritik hebat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang.

Mereka turut mempersoalkan Najib selepas akhbar perniagaan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan beliau menerima AS$700 juta (RM2.67 bilion) sebelum PRU13 melalui akaun peribadinya seperti berada dalam kertas siasatan penyiasat Malaysia.

Najib dikatakan mempertimbangkan untuk menyaman akhbar perniagaan AS itu selepas pentadbirannya menggantung permit 2 akhbar perniagaan, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily kerana laporan mereka tentang 1MDB.

Selain itu, blog Sarawak Report disekat daripada diakses di Malaysia kerana melakukan pendedahan sama.

Najib menubuhkan 1MDB selepas mengambil alih kuasa daripada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Beliau masih belum melakukan rombakan Kabinetnya sejak 2009 dan selepas PRU13, Najib menambah senarai menteri penuh kepada 35.

Selain Ahmad, timbalan menteri lain yang akan dijadikan menteri penuh adalah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sumber lain berkata, bekas pegawai khas Najib dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim akan turut dinamakan sebagai timbalan menteri pada ketika perdana menteri mengukuhkan kuasanya menjelang pilihan raya umum tiga tahun lagi.

Tidak diketahui siapa yang akan menggantikan Idris dan Palanivel. Idris merupakan salah seorang daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri – kementerian terbesar dalam sejarah Malaysia moden.

“Penyokong setia Najib akan menjadi dominan dalam Kabinet kali ini,” kata sumber itu dan menambah perdana menteri mempertimbangkan untuk mengambil anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat isu 1MDB.

PAC diketuai ahli Parlimen Pulai tiga penggal Datuk Nur Jazlan Mohamed, seorang akauntan bertauliah.

“Ini bukanlah rombakan besar-besaran, tetapi lebih kepada pengubahsuaian,” kata sumber itu.

Najib melihat kejatuhan popularitinya walaupun melakukan pelbagai inisiatif dan memenangi PRU13, di mana Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 47% daripada undi popular.

Najib sudah melakukan pelbagai langkah-langkah ekonomi termasuk membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 dan memperkenalkan bantuan tunai BR1M, namun hutang besar 1MDB dan pemindahan wang ke akaun peribadi menjatuhkan popularitinya.

Muhyiddin mempersoalkan skandal menyelubungi hutang 1MDB dan wang dalam akaun peribadi Najib seperti dilaporkan WSJ, tetapi Pejabat Perdana Menteri mengatakan semalam beliau sepatutnya menunggu keputusan siasatan.

Sekurang-kurangnya empat sudah ditahan berkait skandal 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd di mana penyiasat mengatakan kes ini sangat kompleks.

Kerajaan mengatakan siasatan awal sudah membersihkan 1MDB, tetapi masih menunggu keputusan audit.
-malaysianinsider-

1 ulasan:

Unknown berkata...

apa nak buat...si boddoh pilih si bahalol...