"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terperangkap dalam terowong sejak 24 bulan lepas

Projek MRT
Projek MRT Kerja-kerja pembinaan hub pengangkutan awam laluan bawah tanah Mass Rapid Transit (MRT) sedang giat dilakukan. - Foto Bernama
TATKALA rakan sebaya lain selesa bekerja di pejabat berhawa dingin, lain pula ceritanya bagi Izyan Syahirah Hasanuddin, 24, yang 'terperangkap' dalam terowong bawah tanah sejak 24 bulan yang lepas.

Terowong bawah tanah sedalam 30 meter itulah menjadi tempat beliau menghabiskan masa selama 12 jam setiap hari, dengan terpaksa bergelumang bau tanah yang kurang menyenangkan dan suhu yang sangat panas, hingga boleh mencabar fizikal dan mental sesiapa sahaja jika berada dalam kedudukan gadis kelahiran Besut, Terengganu ini.

Bagi Izyan Syahirah serta lebih 100 jurutera muda tempatan yang bersemangat waja, terlibat dalam projek mega terowong bawah tanah Transit Aliran Massa (MRT) adalah rutin harian kerja mereka.

Projek di bawah syarikat MMC-Gamuda Sdn Bhd, itu melibatkan pembinaan tujuh buah stesen iaitu KL Sentral, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Sentral, Pasar Rakyat, Cochrane dan Maluri.

Beliau sama sekali tidak menyangka akan memegang status sebagai jurutera muda seawal usia 22 tahun lebih-lebih lagi apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi seorang daripada kumpulan yang mengendalikan projek berstatus mega ini.

"Projek yang membabitkan bahagian bawah tanah jarang dibangunkan di Malaysia dan bagi saya kenapa perlu lepaskan peluang sekali dalam seumur hidup begini?," katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai permulaan kariernya dalam industri pembinaan ini.

Terima tawaran

"Semasa sesi temuduga, sewaktu panel menyatakan saya akan ditawarkan bekerja dalam projek pembinaan terowong MRT, membuatkan saya tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran keemasan itu!," ujarnya yang bekerja di 'Pudu Launch Shaft', iaitu terowong alternatif yang dibuat khusus sekiranya berlaku kecemasan.

Sebaik sahaja berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), gadis ini banyak mencuba nasib dengan memohon banyak pekerjaan kosong yang kebanyakannya dalam prospek minyak dan gas serta pembinaan perumahan.

Walaupun menganggap sektor pembinaan terowong tidak begitu menonjol, namun beliau tetap menguatkan semangatnya untuk menerokai pengalaman baharu dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki kebanyakannya warga asing.

Keluar dari zon selesa

"Saya akui kemahiran 'multi-tasking' amat diperlukan ketika melakukan tugas-tugas di dalam terowong. Contohnya ketika mengendalikan mesin pengorek bawah tanah 'Tunnel Boring Mchine' (TBM).

Menjadi seorang daripada segelintir jurutera wanita di situ, katanya pengalaman yang sangat menguji ketahanan fizikal dan mentalnya adalah sewaktu proses 'intervention' di mana memerlukan pihaknya untuk menghentikan sementara penggunaan mesin TBM bagi melakukan tinjauan di dalam kawasan bawah tanah yang baru diterokai.

"Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya apabila terpaksa berhadapan dengan suhu mencecah 39 darjah celcius, bau tanah yang meloyakan dan keadaan gelap yang sedikit sebanyak menghadkan pergerakan saya di dalam terowong itu," katanya sambil ketawa kecil.

Nasihat Izyan kepada anak muda khususnya bakal jurutera muda wanita di luar sana, kaum wanita kini perlu keluar dari 'zon selesa' untuk mencuba perkara baharu dan membuang tanggapan bahawa tidak semua pekerjaan mampu dibuat oleh kaum lelaki sahaja.

Peluang keemasan

Sementara itu, seorang lagi jurutera muda, Ismail Bukhari Wan Ibrahim, 25, berkata, penglibatannya dalam projek MRT ini bermula pada usia 23 tahun dan ketika itu beliau baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

"Saya nekad memilih untuk bekerja di bawah projek mega syarikat MMC-Gamuda Sdn Bhd. kerana ia satu-satunya projek di Malaysia yang menggunakan TBM untuk kerja mengorek terowong," kata jejaka yang pernah memasang impian menjadi seorang pemandu kapal terbang.

Ismail berkata agak mustahil bagi graduan lepasan universiti untuk mendapatkan jawatan ini di luar negara dan apabila syarikat MMC-Gamuda sendiri yang menawarkan peluang berharga tersebut, sudah tentu beliau tidak melepaskan peluang itu.

Beliau berkata sektor pembinaan adalah satu pentas pembelajaran yang sangat unik dan setiap hari baginya adalah pengalaman yang penuh dengan ilmu baru dan masalah yang perlu diselesaikan memerlukan dirinya berfikiran lebih kritis serta analitikal.

Ditanya mengenai pendidikan kejuruteraan, beliau berkata, institusi pendidikan perlulah mencari jalan yang terbaik dengan menyediakan struktur pembelajaran mengikut acuan tempatan. Contohnya di Amerika, struktur asas binaan mereka berdasarkan 'brick wood' dan Malaysia pula menggunakan asas batu konkrit.

Pencapaian

Penglibatan remaja yang dianggap perintis dalam sektor pembinaan seperti ini sememangnya menjadi satu kebanggaan buat negara yang dilihat ketandusan tenaga muda khususnya dalam kalangan rakyat tempatan.

Namun ramai yang tidak tahu akan penglibatan tenaga anak muda tempatan dalam pembinaan jajaran terowong MRT yang lahir hasil daripada sistem pendidikan negara kita sendiri.

Kerja-kerja pembinaan terowong telah siap sepenuhnya pada 21 April 2015, dan dijangka projek tersebut akan mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2017.

Kejayaan ini harus diraikan memandangkan kerja-kerja menggali terowong di Kuala Lumpur cukup mencabar sekali kerana mempunyai keadaan geologi tanah jenis batu kapur karstik yang mudah rapuh.

Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang adalah antara sembilan Entry Point Projects (EPP) yang melibatkan pembinaan jajaran sistem rel sejauh 51 kilometer (km) dengan pembinaan terowong bawah tanah sejauh 9.5km. 
-Bernama-

Tiada ulasan: