"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita rentung akibat khianat

Ipoh: Seorang wanita maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat di Hala Bekor 2, Taman Pertama di sini, awal pagi semalam dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, dua kenalan mangsa masing-masing seorang wanita berusia 36 tahun dan lelaki berusia 66 tahun turut cedera dan tidak sedarkan diri akibat terhidu asap.

Mangsa Lai Yee Leng, 26, yang mati di tempat kejadian ditemui pasukan bomba tertiarap atas lantai dalam bilik tidur utama di tingkat atas kediaman itu manakala dua lagi mangsa yang sesak nafas ditemui di tingkat bawah sejurus selepas bomba memecah masuk rumah berkenaan.

Difahamkan, terdapat beberapa barang dan kesan unsur khianat ditemui di lokasi kejadian termasuk tong yang dipercayai mengandungi cecair mudah terbakar, penukul besi, pemutar skru selain cermin pintu gelongsor hadapan rumah itu terdapat kesan seperti dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata, pihaknya bagaimanapun setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR) kerana masih menunggu laporan rasmi bomba berhubung punca sebenar kebakaran.

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu jam 2.29 pagi dan siasatan awal mendapati kebakaran membabitkan tiga mangsa yang seorang daripadanya meninggal dunia manakala dua lagi tidak sedarkan diri akibat sesak nafas.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Dua lagi mangsa yang masih tidak sedarkan diri dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan polis masih belum dapat merakam keterangan kedua-dua mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan forensik bomba turut membuat siasatan dan setakat ini punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P Samasuvam berkata, seramai 20 anggota bersama empat jentera tiba ke lokasi kejadian jam 2.13 pagi dan mengambil masa lebih lima minit untuk memasuki kediaman berkenaan termasuk terpaksa memotong pintu jeriji rumah.

“Sebaik berjaya memecahkan pintu belakang, anggota bomba menemui dua mangsa iaitu lelaki yang melecur 40 peratus dan wanita dalam keadaan lemah dan separuh sedar di bahagian dapur,” katanya
-hmetro-

Tiada ulasan: