"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah jangan terlalu kemaruk undi

Adam Abu Bakar 
PETALING JAYA: Pemimpin dari Parti Amanah Negara (Amanah) didesak agar tidak terlalu kemaruk kepada undi sehingga berani mencampuri urusan negara Brunei mengenai sambutan Krismas.

Penceramah bebas dan pensyarah, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Amanah mengenai sambutan Krismas di Brunei itu pasti akan menyeronokkan ‘ultra kiasu’.

“Peliknya, Kristian di Brunei tidak terasa apa-apa pun. Kenapa kita gatal punggung?” tulisnya di akhbar Sinar Harian.

Mengulas lanjut, pendirian sesebuah negara haruslah dihormati atas semangat kejiranan. Hal ini kerana sesuatu keputusan yang dilakukan pasti akan ada justifikasi tersendiri.

“Tetapi, inilah orang politik, bila nampak sesuatu isu yang memberi keuntungan politik atau undi. Semua mahu jadi jaguh kampung,” ujarnya.

Katanya lagi, tindakan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengharamkan sambutan Krismas juga bukanlah sesuatu yang baru dan pertama dilakukan.

Hal ini kerana banyak negara lain di dunia, termasuk negara bukan Islam, yang tidak menyambut Krismas atau mengisytiharkan Krismas sebagai cuti umum.

“Israel yang terletak berhampiran Gereja Nativiti, Bethlehem, Palestin iaitu tempat kelahiran Nabi Isa A.S, pun tidak bercuti pada hari Krismas.

“Negara bukan Islam yang tidak bercuti Krismas adalah Bhutan, China, Jepun, Mongolia, Korea Utara, Laos, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam,” ujar beliau lagi.

Tambah Ridhuan lagi, Brunei ‘mengharamkan’ sambutan secara terbuka Hari Krismas kerana khuatir ia boleh menyesatkan umat Islam.

“Umat Islam perlu menghindari perayaan bukan Islam kerana ia boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) dan menjejaskan akidah. Mungkin ada yang berhujah, rapuh sangat iman umat Islam boleh terpengaruh dengan santa claus.

“Ini bukan soal rapuh iman atau tidak. Ini negara mereka dan mereka ada hak. Keadilan itu memberikan hak kepada yang berhak,” katanya.

Jelas beliau lagi, banyak percubaan yang telah dilakukan untuk meliberalkan dan mengkristiankan negara Brunei, tetapi tidak berjaya.

“Kita sudah nampak bahaya di depan mata, tetapi terus biarkan, atas alasan unity in diversity. Siapa jadi mangsa?” katanya.
-fmt-

Tiada ulasan: