"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMK Selangor tegur 'nada sinis' tolak Dr M

Ketika beberapa pemimpin kanan PKR Selangor menolak keputusan Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, sayap pemuda negeri itu pula berpendirian sebaliknya.

“Tidak seharusnya timbul lagi nada-nada sinis penentangan kerana fokus utama sekarang adalah agenda menyelamatkan Malaysia.

“Saya seru seluruh pendukung perjuangan untuk berjiwa besar menerima keputusan ini dan kembali fokus kepada agenda utama untuk menumbangkan Umno dan BN,” kata Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Selangor Syed Badli Shah Syed Osman.

Selepas perbahasan awam sekian lama, HARAPAN semalam mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail pula menjadi timbalannya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak disenangi beberapa pemimpin negeri, termasuk Zuraida Kamaruddin dan Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor Hizwan Ahmad yang melihat keputusan itu menggambarkan parti itu tidak mampu menamakan calon sendiri.

Berkaitan: Pemimpin PKR Selangor tolak Mahathir calon PM

Dalam kenyataan lewat petang ini, Syed Badli Shah berkata polemik ketidakpuasan hanya akan menjejaskan kestabilan HARAPAN.

“Pada saya kita boleh berbeza pandangan dan cadangan sebelum keputusan dibuat. Namun setelah kata putus dicapai, ia perlu dipertahankan dan dihormati.

“Kita perlu berjiwa besar menerima keputusan demi meneruskan agenda yang lebih utama,” katanya.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: