"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majoriti rakyat terima Dr Mahathir

Kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu segera berhenti daripada mengeluarkan kenyataan menampakkan mereka tidak sekepala ketika pilihan raya umum (PRU) semakin mendekati.

Bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata segala pandangan yang bercanggah hanya menghantar isyarat salah kepada pengundi.

"Akhirnya orang akan melihat HARAPAN tidak solid membuat keputusan," katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor kelmarin.

HARAPAN menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika mereka berjaya mengetepikan BN dalam PRU ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dipilih sebagai timbalan perdana menteri. Pelan yang akan dilaksanakan kemudian ialah mendapatkan pengampunan diraja buat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum beliau dilantik pula sebagai perdana menteri.

Anwar kini ditahan di Penjara Sungai Buloh dan bakal dibebaskan pada 8 Jun. Bagaimanapun undang-undang negara mengehadkan pembabitannya dalam politik selama lima tahun.

Ada daya tarikan

Sesetengah pihak termasuk dalam PKR sendiri tidak berpuas hati dengan pemilihan Dr Mahathir.

Kata Mahfuz beliau menghargai hak seseorang menyatakan pandangan namun apabila keputusan sudah dibuat di peringkat pimpinan, ia mesti dipatuhi.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang baru mengumumkan secara rasmi 'bercerai' daripada PAS selepas beberapa dekad bersama berkata, HARAPAN perlu bertindak dengan bijak agar rakyat dapat diyakinkan dengan kewibawaan mereka.

Beliau juga berpendapat pemilihan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri untuk HARAPAN adalah tepat dan disambut baik sebahagian besar rakyat.

"Bagi saya ini keputusan yang sangat hebat dan saya tak fikir majoriti rakyat menolak keputusan ini walaupun memang ada sesetengah pihak tidak senang," katanya.

Tambah Mahfuz, kejayaan Dr Mahathir yang pernah mengetuai kerajaan selama 22 tahun tidak boleh dinafikan lagi.

"Tidak boleh dinafikan oleh siapa bahawa Dr Mahathir mempunyai daya tarikan untuk HARAPAN mendapat kuasa.

"Beliau mempunyai daya tarikan untuk memastikan Umno dan BN hilang sokongan pengundi," katanya.

Malah, Mahfuz percaya kerjasama antara Dr Mahathir dan HARAPAN membawa makna politik akan menjadi stabil.

Menjelaskan pandangan itu Mahfuz berkata suatu ketika dulu Dr Mahathir bermusuh dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu (bekas timbalan presiden AMANAH) dan Anwar.

Kini katanya mereka sudah duduk semeja dan bekerjasama bagi menumbangkan BN.

"Berakhirnya permusuhan yang wujud sekian lama ini boleh memberikan keyakinan baru kepada masyarakat sama ada dalam atau luar negara bahawa negara kita akan berada dalam keadaan stabil. Keyakinan para pelabur juga akan meningkat," katanya.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: