"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Calon AMANAH bertanding di kawasan DAP, guna logo roket

Seorang calon Parti Amanah Negara (AMANAH) mungkin akan bertanding di kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada DAP iaitu Ayer Hitam, dengan menggunakan logo 'roket',

Kerusi Parlimen yang terletak di Johor itu merupakan kawasan penting memandangkan penyandangnya ialah Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ketika dihubungi Malaysiakini berhubung spekulasi itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengesahkannya dan berkata ia dibuat atas dasar kompromi.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub pula enggan mengulas panjang ketika diminta mengulas tentang perkara itu.

"Saya tidak dapat mengesahkannya malam ini (semalam)," katanya kepada Malaysiakini.

Rafizi dan Salahuddin terlibat dalam proses rundingan kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Rafizi mendedahkan bahawa berdasarkan cadangan awal, DAP sedia untuk menukarkan dua kerusi parlimen kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan kerusi Parlimen Segamat yang ditandingi PKR pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Segamat merupakan kerusi tradisi DAP sehinggalah PRU lalu, apabila parti itu menukarkannya dengan Parlimen Gelang Patah, yang berjaya dimenangi tokoh veteran Lim Kit Siang.

Namun, PKR sudah pun melepaskan beberapa kerusi kepada BERSATU, justeru giliran AMANAH pula untuk membuat kompromi.

"PKR akan menjadi pihak yang paling rugi (jika menyerahkan Segamat) sebab kita tidak dapat apa-apa," kata Rafizi.

Kemudian DAP tampil untuk menyelesaikan persoalan itu, melalui kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Pada mulanya, AMANAH menuntut sebahagian besar kerusi Parlimen yang ditandingi PAS - termasuk Ayer Hitam - pada PRU lalu.

Sebagai kompromi, AMANAH melepaskan Ayer Hitam tetapi masih boleh bertanding di sana menggunakan logo DAP.

Sebagai pertukarannya, DAP melepaskan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada BERSATU.

Pada PRU ke-13, Wee Ka Siong menewaskan calon PAS, Hu Pang Chow dengan majoriti 7,310 undi. Hu kini merupakan anggota AMANAH.

Di Tanjung Piai pula, Datuk Wee Jeck Seng daripada BN menewaskan calon DAP, Mahdzir Ibrahim dengan majoriti 5,457 undi.

DAP turut menyerahkan Parlimen Batu Gajah kepada BERSATU.


DAP bertanding di 36 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU lalu. Pada PRU ke-14, parti itu akan bertanding di 35 kerusi Parlimen.

Konvensyen HARAPAN Ahad lalu mengumumkan BERSATU akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, manakala PKR bertanding di 51 kerusi dan AMANAH 27 kerusi.

Rundingan bagi kerusi di Sabah dan Sarawak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pula masih berjalan.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: