PETALING JAYA: Seorang pengguna Facebook menggunakan gelaran “ustaz” yang mempersoalkan status halal makanan dijual McDonald’s enggan menarik balik tuduhannya, sambil berkata beliau tidak gentar dengan siasatan polis.
“Tak ada masalah langsung. Boleh tangkap, masuk penjara. Kita mempertahankan benda. Di sebaliknya ada satu perjuangan. Perjuangannya adalah perjuangan akidah. (Ia) adalah benda yang saya nak sampaikan,” kata Rasyiq Alwi, yang menggunakan nama Facebook “Ustaz Abu Syafiq Al-Asy’ary”, ketika dihubungi FMT.
Ia susulan gergasi makanan segera itu membuat laporan polis dan mengancam tindakan mahkamah terhadap Rasyiq yang menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menilai semula status halal McDonald’s.
Rasyiq berkata beliau hanya mempersoalkan siapa yang mengurus bekalan makanan McDonald’s.
Menurutnya, syarikat itu perlu mendedahkan anutan agama pembekalnya, di samping status daftar pembekal itu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau tidak.
“Mengikut semakan kita pada laman rasmi halal Jakim, syarikat tersebut tidak mendapat halal sedangkan dia mengguna alamatnya di Malaysia dan lambang yang ada di Malaysia,” dakwa Rasyiq, mengulangi tuduhannya yang dimuat naik di laman Facebooknya yang mempunyai lebih 170,000 pengikut.
Dalam responnya, McDonald’s menuntut Rasyiq menarik balik kirimannya sambil berkata ia berhak mengambil tindakan mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan fitnah.
Syarikat itu turut membuat laporan polis sambil berkata “fitnah sebegini boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam”.
“Setiap produk yang dibekalkan ke McDonald’s Malaysia disahkan halal oleh Jakim atau badan pensijilan halal dari luar negara yang diluluskan oleh Jakim,” kata McDonald’s.
Rasyiq menafikan beliau memfitnah rangkaian kedai makanan itu.
“Ia bukan fitnah sebab kenyataan saya itu memang ada bukti, cuma saya belum paparkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan