"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kita akan menang semua, dapat kerusi gred A, kata AMANAH selepas dapat kerusi paling sikit

ARIF ATAN

Rata-rata pimpinan AMANAH yang ditemui selepas berakhirnya Konvensyen Pakatan Harapan hari ini mengambil sikap berlapang dada selepas menerima keputusan agihan kerusi Parlimen di Semenanjung yang paling sedikit.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yakin akan memenangi kesemua 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

“InsyaAllah, kita akan menang semua (kerusi),” jawabnya ringkas sejurus turun dari pentas utama selepas selesai sidang media.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad pula memberitahu parti berusia dua tahun tersebut berjaya memperoleh kerusi Parlimen yang sebelum ini dituntut.

“Kita dapat kebanyakan kerusi (Parlimen) yang kita mahu. Dan kerusi yang AMANAH dapat adalah kerusi yang berpotensi tinggi boleh menang,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan menafikan kononnnya AMANAH terpinggir dalam proses rundingan agihan kerusi dengan tiga sekutunya yang lain.

Sebaliknya, beliau berpendapat keputusan tidak semestinya menyaksikan kerusi yang banyak ditandingi akan mampu dimenangi.

“Daripada jumlah kerusi yang banyak, belum tentu boleh menang. AMANAH dapat kerusi yang terbaik,” tegas Khalid lagi.

Perutusan yang diberi nama ‘Muafakat Pakatan Harapan’ itu menyaksikan Bersatu membolot paling banyak kerusi Parlimen di Semenanjung iaitu 52 daripada 165 kerusi dan diikuti PKR sebanyak 51 kerusi.

Sementara itu, DAP diperuntukkan 35 kerusi manakala AMANAH hanya memperoleh 27 kerusi.

Tawar-menawar

Ditanya tentang peranan tawar-menawar AMANAH bersama rakan Pakatan Harapan, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan pula berpendapat partinya tidak hilang kuasa rundingan tersebut.

“Kita tidak hilang kuasa tawar menawar. Soal pembahagian kerusi ini bergantung pada kekuatan parti. Kita tahu PRU-14 ini, undi Melayu adalah undi penentu.

“Jadi, sudah tentu kita memberi peluang yang agak luas kepada Bersatu sebab kita tahu Bersatu ditubuhkan berteraskan Melayu.

“Oleh itu, sudah tentu Bersatu boleh menggantikan tempat Umno-BN untuk menarik sokongan pengundi Melayu khususnya yang tinggal di luar bandar,” jelasnya.

Sany turut menyifatkan rundingan pembahagian kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dijangka akan memberi lebih ruang kepada AMANAH.

“Ada satu lagi perbincangan kerusi di peringkat Dun. Saya difahamkan di sinilah AMANAH akan memainkan peranan sangat penting berdasarkan kekuatan jentera (pilihan raya) kita di peringkat akar umbi.

“Selama dua tahun ini, AMANAH bekerja kuat dan kekukuhan Pakatan Harapan banyak digerakkan AMANAH. Peranan AMANAH terus di akar umbi sekali gus membantu kemenangan calon Pakatan Harapan di peringkat Parlimen,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan: