Harapandaily
DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Kejatuhan Bashar adalah petanda jatuhnya sebuah regim diktator yang diasaskan oleh ayahnya Hafez Al Asad sejak 50 tahun yang lalu.
Pemerintahan keluarga Al Asad selama ini menyaksikan penindasan terhadap suara rakyat.
Peristiwa paling kejam pada masa pemerintahan Hafez Al Asad adalah penyembelihan ke atas rakyatnya sendiri pada pada 2 Februari 1982 dikenali sebagai penyembelihan Hama mengambil korban hampir 25,000 penduduk daerah Hama.
Peristiwa pembunuhan di Hama telah meninggalkan bekas mendalam kepada rakyat Syria yang memendam kebencian kepada regim Baath kepimpinan Hafez.
Kematian Hafez tahun 2000 mewariskan penerusan kediktatoran khususnya apabila rakyat bangkit semasa Arab Spring pada tahun 2011 di Syria dikenali sebagai Kebangkitan Revolusi Maruah Syria.
Kebangkitan ini dibalas dengan tindakan ganas dan kejam regim yang kini dipimpin oleh Bashar dengan pembunuhan, penangkapan dan penyeksaan beribu mangsa ke atas rakyatnya sendiri sehingga lahirnya penentangan bersenjata dari berbagai fraksi yang bersedia untuk menjatuhkan regim Bashar dan mendapat sokongan majoriti rakyat
Syria diperintah oleh minoriti kelompok Alawiyin Syiah yang menguasai semua agensi ketenteraan, perisikan dan keselamatan dan kuasa mutlak di tangan Presiden Hafez dan kemudian Bashar.
Majoriti Sunni dan bukan Alawiyin berkongsi kuasa tetapi terhad dengan kuasa besar yang ada pada Presiden.
Pembahagian sekte (mazhab) sangat ketara di Syria dan dengan pemerintahan kuku besi keluarga Al Asad, keadaan ini menjadi sangat rapuh dan boleh mencetuskan konflik sekte pada bila-bila masa termasuklah peristiwa Hama tahun 1982 di mana majoriti Sunni telah disembelih dan kota Hama diranapkan.
Syria turut tersenarai dalam bidak-bidak percaturan Barat dan Russia dalam konflik Timur Tengah sejak kewujudan entiti haram Israel.
Syria menyertai perang Arab Israel tahun 1967 bersama Mesir dan Jordan. Perubahan peta penaklukan Israel ke atas Golan Height membentuk hubungan tegang Israel Syria pada tahun mendatang.
Syria sehingga sekarang tidak pernah mendapat konsesi hasil rundingan damai seperti mana Mesir yang berjaya mendapatkan kembali tanah yang dikuasai Israel dalam Perang Jun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Segenting Gaza.
Syria tidak mengiktiraf Israel berbanding negara Arab lain khususnya setelah perjanjian Camp David 1978.
Kerana kepentingan konfliknya dengan Israel, Syria menempatkan hampir semua kelompok yang anti-Israel dari Hezbollah, Hamas dan Jihad Islami.
Dari sudut hubungan kenegaraan Syria mempunyai hubungan ketenteraan dengan Iran, Lebanon dan Turkiye atas kemaslahatan negara masing-masing. Turkiye yang berkonflik apabila ketegangan bermula kerana bimbang pemberontak Kurdish yang mendapat perlindungan di Syria.
Pada pasca 2011 menyaksikan intervensi ketenteraan Turkiye yang mengutuk tindakan regim Syria menindas kebangkitan rakyat ke atas kediktatoran Bashar dengan menawan daerah utara Syria iaitu Hatey dan Gaziantep.
Turkiye punya kepentingan kerana terpaksa menerima ribuan pelarian Syria di kawasannya dan menanggung beban kos pengurusan banjiran pelarian Syria.
Pada waktu sama pemberontak Kurdish dari kelompok militer dikhuatiri beroperasi dari bumi Syria.
Russia ada kepentingan hubungan untuk mengimbangi dominasi Amerika di Timur Tengah apatah lagi kekecewaan Asad kepada Amerika dalam isu Golan Heights mendorong regim Asad berpaling kepada Russia yang membekalkan keperluan senjata kepada Syria.
Iran pula berkongsi sentimen atas hubungan sekte Syiah dan kepentingan geo-politik menimbangkan ancaman Turkiye, Israel dan pembelaan ke atas Palestine.
Malah kewujudan anasir Iran di tempat-tempat suci syiah seperti Maqam Saydatina Zainab di Selatan Damascus menimbulkan suasana tidak senang penduduk tempatan.
Berakhirnya regim keluarga Asad
Berakhirnya regim keluarga Asad adalah kerana Bashar sudah tidak lagi mampu mengimbangi tekanan dalaman dan luaran serta kelemahan moral tenteranya malah kewujudan anasir Rusia dan Iran untuk mengekalkan regim tidak lagi berbaloi kerana Bashar terlalu kemah dan penentangan rakyat ke atasnya meningkat.
Ketidakstabilan ini memudahkan lagi jalan para pejuang pembebasan Syria memasuki kota-kota strategik ke Damascus tanpa penentangan.
Kemasukan tentera pembebasan disambut dengan kemenangan rakyat dan transisi ke arah solusi politik sedang berjalan lancar tanpa ada apa-apa halangan besar.
Ketua tentera pembebasan Abu Mohammad al Julani memperlihatkan kekuatan diplomasinya dengan fokus kepada tujuan pembebasan Syria dan bukan untuk menciptakan huru-hara dendam dan keganasan.
Beliau menyeru kepada jaminan keselamatan untuk tidak membunuh musuh yang menyerah dan tidak kejar musuh yang lari.
Nampaknya proses transisi kuasa ketenteraan kepada proses politik berjalan lancar dengan jaminan Al Jilani.
Penguasaan tentera pembebas yang dipimpin oleh HTS ke atas bangunan aparatus kerajaan berlaku tanpa penentangan menandakan Bashar sudah hilang kuasanya secara mutlak.
Spekulasi berbagai termasuk apakah al Julani disokong oleh Turkiye atau Amerika adalah terlalu simplistik.
Malah ada yang menganggap kewujudan Bashar perlu untuk imbangi kemaraan Israel dan politik Amerika melalui kewujudan anasir Iran dan Hezbollah.
Sebenarnya keadaan lebih rumit dari yang kita jangkakan.
Buat masa ini perkara besar kezaliman regim Asad dari ayah dan anaknya telah berakhir dan ianya satu kemenangan kepada rakyat Syria atas kezaliman pembunuhan dan penindasan yang berlaku selama berpuluh tahun.
Apakah yang dijangkakan dari episod seterusnya perihal ancaman entiti haram Israel di celah kemunculan era baharu Syria?
Bagaimanakah percaturan Amerika, Russia, Turkiye dan Iran dalam lanskap baru ini?
Yang pastinya semua negara berkepentingan ini bersetuju bahawa regim Asad perlu berakhir dan satu era baharu perlu muncul, hanya Allah sahaja tahu apa akan berlaku seterusnya dari bumi Syam ini yang menjadi tumpuan serta prediksi bahawa akan bangkit gerombolan dari Syam yang akan membebaskan Al Aqsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan