"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tahan, beku jenazah bayi disifatkan penganiayaan, menyalahi hukum syarak

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tindakan sebuah hospital swasta yang didakwa 'menahan' jenazah bayi selama dua minggu disifatkan sebagai suatu penganiayaan yang menyalahi hukum syarak.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, menyimpan jenazah di dalam peti sejuk mayat selama dua minggu adalah tidak wajar kerana ia menyebabkan kelewatan pengebumian jenazah yang sepatutnya disegerakan jika tiada sebarang keuzuran.

"Tindakan penahanan disebabkan menunggu si bapa untuk menyelesaikan kos bersalin ibunya bukanlah suatu keuzuran syarie (seperti kes pembunuhan, kemalangan dan sebagainya yang perlu dibedah siasat) kerana tuntutan kos itu boleh diselesaikan dengan cara lain.

"Dalam hal ini, ia menjadi satu penganiayaan fizikal yang menyalahi syarak yang tidak wajar dibiarkan berulang sekali lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.
JENAZAH bayi lelaki tidak cukup sifat selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam di Klang. FOTO Facebook Mr Wan Cai Official
JENAZAH bayi lelaki tidak cukup sifat selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam di Klang. FOTO Facebook Mr Wan Cai Official
Katanya, terdapat beberapa perkara berkaitan hukum syarak yang perlu dipertegaskan berhubung perbuatan menahan jenazah bayi berkenaan.

Menurutnya, jika bayi yang dilahirkan sudah berusia enam bulan dan ke atas, maka jenazahnya wajib dilakukan seperti jenazah orang dewasa iaitu dimandikan dan dikafankan, solat jenazah dan dikebumikan.

"Jenazah bayi berkenaan sudah melebihi usia enam bulan, jadi wajib disegerakan melainkan terdapat keuzuran seperti menunggu kedatangan wali (bapa, ibu atau penjaga yang sah) dalam jarak masa singkat yang mana dipercayai badan jenayah masih elok dan tidak berlaku perubahan (membusuk dan seumpamanya)," katanya.

Bagaimanapun katanya, ia boleh ditangguhkan jika terdapat keperluan (maslahah) yang kritikal seperti wujudnya keraguan tentang punca kematian atau tujuan bedah siasat dalam kes tertentu seperti pembunuhan, kemalangan dan sebagainya.

Sementara itu, berhubung dakwaan menghina fizikal bayi itu katanya, seorang Muslim perlu berakhlak Islam dengan menjaga lidah dan tangan daripada menyakiti orang lain.

"Tindakan menghina seseorang dalam semua keadaan adalah suatu yang menyalahi akhlak Islam.

"Kita seharusnya menjauhi daripada memaki, mencela, dan berkata tidak elok pada orang lain atau mengenai diri mereka," katanya.

Tiada ulasan: