"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita warga Indonesia bawa pegawai imigresen serbu kediaman sendiri

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my
PENGUAT kuasa imigresen menyiasat dua beranak yang ditahan di Chukai. FOTO Baharom Bakar
PENGUAT kuasa imigresen menyiasat dua beranak yang ditahan di Chukai. FOTO Baharom Bakar
Kuala Terengganu: Tidak mahu berpisah dengan anak gadisnya, seorang wanita warga Indonesia terpaksa membawa pegawai imigresen menyerbu kediaman sendiri supaya anaknya turut ditahan penguat kuasa berkenaan.

Justeru, kedua-dua mereka kini ditempatkan bersama dalam depot tahanan selepas ditahan dalam Ops Sapu dan Selera di Chukai, Kemaman, kelmarin, oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) negeri ketika operasi di sekitar Bandar Chukai dalam operasi selama lapan jam bermula 11 pagi.

Wanita warga Indonesia berusia 39 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan di sebuah kafe di sebuah hotel di Jalan Abdul Rahman, Chukai manakala anaknya berusia 18 tahun ditahan ketika berehat di bilik sewa didiami mereka di Kampung Gong Pauh, Chukai.

Hasil soal siasat, wanita terbabit mengaku masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial bersama anak perempuannya pada Jun tahun lalu.

Wanita itu secara sukarela membawa pegawai penguat kuasa imigresen ke kediamannya untuk menahan anak gadisnya kerana bimbang akan ditinggal seorang diri di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata dua beranak itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal melebihi masa.

Katanya, wanita warga Indonesia itu dihantar ke depot tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

"Kita juga mengeluarkan notis hadir ke pejabat imigresen negeri kepada seorang wanita tempatan berusia 53 tahun dipercayai majikan kepada wanita warga Indonesia yang ditahan," katanya.

Mohd Yusri berkata, dua beranak itu antara 46 warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi yang diadakan di tujuh premis di sekitar Bandar Chukai, Kemaman.

Tiada ulasan: