"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jam 3.30 pagi: 'Lembaga' menyorok belakang langsir

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa rumah dihuni warga asing di kawasan setinggan di Taman Ayer Hitam, Dengkil, Putrajaya, dalam operasi awal pagi ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa rumah dihuni warga asing di kawasan setinggan di Taman Ayer Hitam, Dengkil, Putrajaya, dalam operasi awal pagi ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Putrajaya: Sembunyi di belakang langsir bagi mengelak diberkas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebaik kediaman setinggan warga asing di Taman Ayer Hitam, Dengkil diserbu awal pagi semalam.

Itu antara gelagat pendatang warga asing yang cuba menyembunyikan diri sebaik menyedari penempatan haram itu dikepung anggota JIM sekitar jam 3.30 pagi tadi.

Difahamkan rata-rata penghuni sedang tidur dan tidak menyedari kehadiran anggota berkuasa.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor, Johari Supardi itu turut disertai 80 pegawai dan anggota JIM.

"Seramai 100 warga asing diperiksa dengan 51 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan kebanyakannya warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 20 hingga 50-an membabitkan 33 lelaki serta 18 wanita," katanya selepas tamat operasi.

Khairrul berkata, antara kesalahan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dikesan dalam operasi itu adalah tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.

"Operasi itu dilakukan hasil risikan dijalankan sejak beberapa minggu lalu selepas JIM menerima aduan awam memaklumkan kehadiran warga asing di lokasi ini.

"JIM akan mempergiatkan usaha membanteras pati di Selangor," katanya.

Katanya, kesemua ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tiada ulasan: