Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) sehingga mengalami kecederaan, Jumaat lepas.
Bapa berusia 65 tahun itu didakwa mencederakan anak kandungnya berumur 28 tahun itu dengan memukul mangsa menggunakan sebatang paip polyvinyl chloride (PVC) sehingga menyebabkan mangsa luka pada dahi selain lebam dan bengkak pada kedua-dua tangan, kaki serta badan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Connaught, Cheras, pada 12 tengah hari, 6 Dis 2024, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama.
Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut manakala Seksyen 326 A menyatakan sesiapa menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau benda yang merbahaya, berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan memohon RM11,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia tiada penjamin dan tidak dapat menghubungi keluarganya.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan jaminan dan sebutan kes ditetapkan pada 14 Jan depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan