Bernama
Muhammad Hariez Farhan Masrudin dituduh bunuh ibunya pada 4 Dis.
Tiada pengakuan direkod daripada Muhammad Hariez Farhan Masrudin kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. (Gambar Bernama)
KLUANG: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya di sebuah rumah di Felda Ayer Hitam, minggu lalu.
Muhammad Hariez Farhan Masrudin, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Anak ketiga daripada lima beradik itu didakwa membunuh ibunya, Zarina Jaafar, 47, antara 10.45 pagi hingga 12.30 tengah hari, pada 4 Dis.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 4 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 4 Dis, media melaporkan seorang wanita ditemukan dalam keadaan terbaring dipercayai ditikam dengan pisau di belakang badan oleh anaknya sendiri dalam kejadian di Felda Ayer Hitam, kira-kira 10.45 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan